Setelah banyak desas desus mengenai TV dari OPPO, mereka akhirnya melancarkan TV pertama mereka – OPPO TV S1 dan OPPO TV R1.
OPPO TV S1 adalah TV yang premium dengan panel QLED. Sementara OPPO TV R1 model standard dengan panel LCD.
OPPO TV S1
TV ini bersaiz 65 inci dengan paparan QLED beresolusi 3840×2160. OPPO mendakwa panel ini merangkumi 120% gamut warna dan mencapai kecerahan 1500 nits.
Ia juga hadir dengan kadar segar semula 120Hz dengan sokongan kadar segar semula boleh ubah (VRR) dari 48Hz hingga 120Hz dan MEMC.
Bagi sistem audio, OPPO dengan kerjasama Dynaudio memuatkan 18 pembesar suara dengan output audio 85W serta 5.1.2 channel.
TV ini juga dilengkapi mikrofon untuk Breeno voice assistant dan kamera pop-up untuk panggilan video.
Selain itu, ia dikuasakan cip pemproses MediaTek MT9950 dengan RAM 8.5GB, storan dalaman 128GB serta menjalankan ColorOS TV bagi sokongan penstriman seperti Tencent, Youku, Mango dan iQiyi.
Turut dilengkapi port HDMI 2.1, WiFi 6, alat kawalan jauh NFC, Dolby Vision, Dolby Atmos dan sokongan memainkan video 8K.
OPPO TV S1 dijual pada harga 7,999 yuan (~RM 4960) buat pasaran China.
OPPO TV R1
OPPO TV R1 menggunakan panel LCD 4K dengan lampu belakang LED. Ia ditawarkan dengan skrin bersaiz 55 inci dan 65 inci.
Paparan TV ini hadir dengan nisbah skrin ke badan 96% dan merangkumi gamut warna 93% DCI-P3.
TV R1 tidak menyokong kadar segar semula 120Hz tetapi ia didatangkan dengan MEMC.
Tambahan lagi, ia dijana dengan cip pemproses MediaTek MTK9652 dan masih sokong main balik video 8K. Turut dilengkapi dengan RAM 2GB dan storan sebesar 32GB.
Ciri lain adalah port HDMI 2.1, WiFi 6, blue light filter yang diperakui TÜV Rheinland, pembesar suara Dolby 20W, kamera pop-up, mikrofon dan menjalankan ColorOS TV.
Harga bagi OPPO TV R1 55 inci adalah 3299 yuan (~RM 2045). Sementara OPPO TV R1 65 inci dijual pada harga 4299 yuan (~RM 2665).