OPPO Juga Sah Akan Guna Snapdragon 865

Syarikat pengeluar telefon pintar OPPO semalam mengumumkan yang mereka bakal menjadi salah satu syarikat pertama selain Xiaomi yang akan melancarkan telefon pintar dijana oleh Snapdragon 865  pada suku pertama tahun 2020 nanti.

Pada bulan ini, OPPO turut akan melancarkan Reno3 Pro baharu, yang khabarnya bakal dilengkapi dengan Snapdragon 765G bersama teknologi 5G, meletakkan peranti itu sebagai telefon pintar dwi-mod (mod standalone dan non-standalone) 5G yang pertama.

"Apabila peranti kami tersedia dengan platform mudah alih Snapdragon 865, kami akan membawa telefon pintar premium 5G tersebut dengan pengalaman yang lebih baik selain meningkatkan prestasinya untuk pengguna di seluruh dunia," kata Alen Wu, Naib Presiden OPPO dan Presiden Jualan Global pada acara Qualcomm Snapdragon Tech Summit di Hawaii.



Reno3 Pro akan membolehkan pengguna untuk mengalami penyambungan 5G yang unggul dengan Qualcomm Snapdragon Elite Gaming dalam bentuk ultra tipisnya. OPPO juga merancang untuk melancarkan lebih banyak produk 5G pada masa hadapan.

Syarikat OPPO sentiasa komited untuk menjadi yang terawal dalam merintis dan mempromosikan telefon pintar 5G mereka. Umum mengetahui, pada bulan Mei lalu, secara rasmi OPPO telah melancarkan Reno 5G di Switzerland, terus menjadikannya telefon 5G komersial terawal di negara Eropah tersebut.

Dengan kerjasama Qualcomm Technologies dan beberapa rakan kongsi lain dalam industri, OPPO akan terus meneroka dan membawa lebih banyak nilai dan kemungkinan berkaitan 5G kepada pengguna di seluruh dunia.