OPPO Find X2 Dan Find X2 Pro Tersenarai Di Bluetooth SIG - Hadir Dengan Cip Snapdragon 865, Tri-Kamera 48MP

OPPO bakal melancarkan Find X2 dan Find X2 Pro secara global pada 6 Mac ini. Menjelang pelancaran, kedua-dua peranti ini telah muncul dalam senarai laman web pensijilan Bluetooth SIG dengan beberapa spesifikasi yang didedahkan.

OPPO Find X2 (CPH2023) dan OPPO Find X2 Pro (CPH2025) akan dikuasakan dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 865. Kedua peranti ini mempunyai paparan WQHD+ 6.7 inci dengan kadar penyegaran 120Hz. Selain itu, siri peranti ini akan menjalankan sistem operasi Android 10 dan ColorOS V7.1.

OPPO Find X2

OPPO Find X2 didatangkan dengan tetapan tri-kamera belakang 48MP+12MP+13MP dan 32MP bagi kamera hadapan. Peranti ini dijangka akan tersedia dengan dua varian warna iaitu Blue Ocean dan Blue Sea Night. Dari segi kapasiti bateri, ia hadir dengan saiz 4065mAh yang akan menyokong pengecasan pantas. Walau bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai kapasiti bateri yang akan ditawarkan untuk Find X2 Pro.

Oppo Find X2 Pro

Bagi tetapan kamera Find X2 Pro, ia hadir dengan tri-kamera 48MP+48MP+13MP dan kamera hadapan adalah sama seperti Find X2 iaitu 32MP.

Pada masa ini, tiada maklumat lanjut mengenai harga yang bakal ditawarkan bagi siri peranti OPPO Find X2.

Sumber: MySmartPrice via Bluetooth SIG