Oppo Find X Akan Hadir Dengan Cip Pemprosesan Snapdragon 845, Dwi-Kamera Utama

Oppo pada minggu lepas telah mengesahkan bahawa peranti kelas perdana terbaru mereka iaitu Oppo Find X akan diperkenalkan secara rasmi dalam satu majlis yang akan diadakan pada 19 Jun ini di Paris. Namun, tidak banyak makumat berkaitan peranti itu yang telah didedahkan.



Bagaimanapun, satu pendedahan telah dikenalpasti melalui penyenaraian model tersebut di dalam laman sesawang pensijilan TENAA baru-baru ini. Maklumat tersebut telah dipadam namun spesifikasi berkenaan peranti itu sudah pun tersebar luas melalui internet.

Penyenaraian tersebut telah memaklumkan bahawa peranti itu akan dilengkapi dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 dan kamera utama dwi-lensa, sesuatu yang agak jarang digunakan pada peranti-peranti keluaran Oppo sebelum ini.

Kamera utama Oppo Find X ini akan menggabungkan lensa 20MP dan 16 MP sementara bagi kamera hadapan pula, ia akan menggunakan lensa 25MP. Ini bermakna, peranti ini mempunyai kamera hadapan yang lebih baik berbanding model Oppo R15 Pro yang menggunakan lensa 20MP.


Kredit : Weibo


Peranti ini akan menggunakan skrin 6.4 inci AMOLED, namun tidak ada sebarang maklumat berkenaan rekaan takuk pada paparan hadapannya setakat ini. Terdapat juga laporan lain yang menyatakan Oppo Find X ini akan menggunakan paparan dwi-lengkung yang direka oleh Samsung.

Bateri peranti ini pula dilaporkan mempunyai kapasiti sebesar 3,645 mAh. Akan tetapi, segala maklumat rasmi berkenaan spesifikasi penuh peranti ini dipercayai akan hanya didapati pada majlis pelancaran Oppo Find X di Paris tidak lama lagi. Anda boleh ikuti laman Facebook Oppo Malaysia untuk perkembangan terkini.

Sumber