OPPO Berada Dibelakang Samsung Bagi Penghantaran Peranti Di Malaysia Untuk Suku Pertama 2019

Beberapa minggu yang lalu,  Oppo telah memeriahkan lagi  pasaran telefon pintar di Malaysia dengan memperkenalkan siri  dua model dalam siri  OPPO Reno, siri yang disediakan dengan sejumlah inovasi serta ciri menarik untuk ditawarkan kepada peminat.

Berdasarkan laporan dari Canalys, OPPO dikatakan telah berjaya menjadi jenama telefon pintar kedua tertinggi dalam pasaran telefon pintar Malaysia selama tiga suku berturut-turut, bermula dari suku ke-3 tahun 2018 yang lepas.



Data di atas diperoleh daripada laporan tinjauan Canalys yang menunjukkan Oppo meraih peningkatan 76% dalam membawa masuk model-model telefon pintarnya ke dalam pasaran mudah alih Malaysia. Ini membolehkan pegangan pasaran mudah alih tempatan oleh OPPO mencatat 18% dan meletakkannya dibelakang Samsung.

Ini menunjukkan bahawa OPPO telah berjaya menambat hati  4.4 juta penggunanya di Malaysia dan syarikat ini boleh dianggap sebagai jenama yang berkembang pesat serta ia telah mencapai pengiktirafan dan sokongan oleh pengguna tanah air.



Menurut laporan Canalys lagi, sepanjang lima suku yang lalu, OPPO berada di tempat ketiga dalam fasa suku pertama tahun 2018 dan dengan masa yang singkat, ia naik ke tempat kedua semasa fasa suku ketiga tahun 2018 dengan 15.7% pegangan pasaran di Malaysia. Apa yang dilihat, Oppo sentiasa berusaha untuk memenuhi kehendak pengguna Malaysia dan juga bijak dalam merancang strategi pemasaran mereka.

Imbas kembali pada penghujung tahun 2017, Oppo memperkenalkan model terbarunya iaitu Oppo F5 dan membuat edisi khas versi artis tempatan iaitu Oppo F5 Fattah Amin Edition serta  Oppo F7 Neelofa Edition. Ini sedikit sebanyak memperlihatkan kesungguhan Oppo dalam memenuhi citarasa rakyat Malaysia yang tidak ada pada syarikat-syarikat pengeluar telefon pintar yang lain.



Seterusnya, Oppo sekali lagi tampil dengan inovasi terbaru mereka dengan pengecasan pantas VOOC pada model F9, Siri X dan R17 Pro  di mana ia menarik perhatian pembeli di Malaysia. Dari segi bijak dalam membuat strategi pemasaran, Oppo dilihat bijak kerana mengambil langkah promosi yang tidak pernah dilakukan lagi dengan menawarkan harga sama tetapi waranti berbeza seperti yang terdapat pada Oppo F11 Pro.

Harga OPPO Reno 10x Zoom adalah RM3,399 manakala harga OPPO Reno (Standard Version) berharga RM1,999.

Oppo F11 Pro boleh didapati pada tanda harga RM 1,299 bagi saiz 64GB storan dan juga 128GB. Apa yang berbeza ialah bagi model F11 Pro 64GB akan mendapat waranti selama 2 tahun manakala F11 Pro 128GB akan mendapat waranti selama setahun. Sejak itu, OPPO berjaya mengekalkan kedudukannya di pasaran Malaysia sehingga suku pertama tahun 2019. Siri Reno terbaru OPPO yang dilancarkan pada bulan Mei yang ditetapkan impak yang besar untuk OPPO pada suku berikutnya sebagai memberi inovasi yang terbaru untuk peminat jenama ini.