[Ulasan] OPPO A91 - Skrin Cantik Tetapi Cip Agak Ketinggalan Untuk Tahun 2020

Pada pertengahan Mac yang lepas, OPPO A91 menerima sebuah lagi model baru diberi nama OPPO A91. Berstatus kelas pertengahan, OPPO A91 dijual untuk peminat tempatan pada harga RM999.

Kami berkesempatan menggunakan peranti ini dalam masa lebih kurang seminggu, ini pandangan kami tentang OPPO A91 2020.
Cip pemprosesan yang agak ketinggalan untuk 2020

Oppo a91 2020 ini didatangkan dengan penggunaan cip pemprosesan yang kami rasakan agak ketinggalan untuk tahun 2020, MediaTek Helio P70. Kenapa kami rasakan ketinggalan? Ia disebabkan OPPO F11 Pro yang dilancarkan awal tahun lalu turut menggunakan cip pemprosesan yang sama.

OPPO A91

Tetapi secara keseluruhan, Helio P70 tidak mendatangkan masalah penggunaan pada kami. Kehadiran RAM berkapasiti 8GB memberi ruang anda membukan pelbagai aplikasi dalam satu-satu masa.

Ditambah lagi dengan storan 128GB, anda tidak mempunyai masalah ruang simpanan. Jikalau penuh sekalipun, ia boleh diluaskan lagi dengan sokongan kad MikroSD.

OPPO A91

Pengalaman bermain aplikasi permainan pun baik, contohnya seperti PUBG Mobile, tetapan Balance dan High disyorkan bagi mendapatkan FPS yang konsisten. Apabila bermain dalam tempoh yang agak lama, anda boleh merasakan panel belakang sedikit suam. Sesuatu yang normal bagi sesebuah peranti ketika dikerah untuk mengendalikan aplikasi dalam jangka masa panjang.

OPPO A91
Paparan baik dengan audio yang lantang

Salah satu perkara yang disukai tentang OPPO A91 adalah skrin yang digunakan padanya. Peranti ini tampil dengan skrin AMOLED 6.4 inci beresolusi FullHD+.

Ia menawarkan skrin paparan kandungan yang cantik bersama tahap kecerahan yang tinggi. Selain itu, warnanya cukup sedap ditonton dan memberikan sudut tontonan yang baik. Bagi ciri perlindungan, panel hadapan ini dilindungi dengan Corning Gorilla Glass 5.

OPPO A91

Ketebalan bezel pada peranti juga boleh diterima jika mengambil kira nilai harga jualan yang ditetapkan. Tugas rakaman hadapan OPPO A91 digalas oleh sensor 16MP f2.0 yang ditempatkan pada takuk water drop.

OPPO A91

Bahagian hadapan ini juga disediakan dengan imbasan cap jari pada paparan dan imbasan wajah. Kedua-duanya berfungsi pantas, tepat dan baik.

Apa yang boleh kami simpulkan untuk skrin paparan OPPO A91, ia memuaskan hati, baik untuk melayan filem disamping audio yang lantang. Cuma bunyi bass peranti agak kurang menarik tetapi secara keseluruhannya bagus.
Rekaan plastik kurang premium tetapi selesa digenggam

Dari segi rekaan, panel belakang didatangkan dengan binaan plastik dan terasa sedikit kurang premium, ditambah lagi dengan bonjol kamera yang agak ketara. Namun, pegangan tangan dapat dibuat dengan selesa serta ringan dalam genggaman.

OPPO A91
Prestasi bateri yang baik

Janaan kuasa bateri OPPO A91 diperoleh daripada bateri 4025mAh, dimana isian daya disalurkan melalui port pengecasan USB-C. Secara purata, kami berupaya mendapatkan tempoh 8 jam untuk screen on time.

OPPO membekalkan telefon pintar ini dengan pengecasan pantas 20W VOOC 3.0 dimana sekitar 30 minit, 50% kuasa berjaya diisi. Bagi isian penuh bateri masa yang diperlukan adalah kira-kira 1 jam 10 minit.

OPPO A91

Kita beralih ke pada sistem operasi. OPPO A91 menjalankan sistem operasi Android 9 Pie yang dilapisi dengan antaramuka Color OS 6. Seperti yang dijelaskan dibahagian atas tadi, ia menawarkan penggunaan yang lancar.

Seperti model-model sebelumnya, ia disediakan dengan ciri Game Space, mengoptimumkan lagi pengalaman bermain aplikasi permainan. Melalui ColorOS 6 juga, anda boleh menggunakan dua aplikasi yang sama dengan App Clone.

 

OPPO A91
Full screen navigation yang kurang memuaskan

Walaupun begitu, peranti ini masih belum ada ciri mod gelap dan mungkin ia akan hadir pada kemaskini ke Android 10 akan datang. Seperkara lagi yang kurang menarik adalah ciri navigasi Full Screen yang kadangkala tidak tepat membaca sapuan jari. Adalah lebih elok anda menggunakan ciri butang navigasi berbanding ciri Full Screen Navigation tersebut.

OPPO A91
Hasil kamera yang sederhana

OPPO A91 dipersenjatakan dengan empat kamera belakang yang terdiri daripada lensa 48MP f1.8, kamera ultra lebar 8MP f2.2, kamera BW 2MP dan kamera depth 2MP.

Gambar yang terhasil daripada sistem kamera ini menyajikan kualiti yang hampir ke warna sebenar, tetapi saturasi agak tinggi. Bagi kamera ultra lebar, gambar kurang tajam mungkin disebabkan piksel yang rendah.

Rakaman waktu malam pula dipenuhi hingar dengan ketajaman yang biasa sahaja. Pujian boleh diberikan pada rakaman hadapan dimana hasilnya tidak di'jambu'kan dan kualiti gambar yang sudah memuaskan hati kami.

FullHD pada kadar 30fps merupakan tetapan rakaman video tertinggi yang boleh anda perolehi dari OPPO A91. Keseluruhannya video nampak stabil tetapi exposure kamera berubah-ubah. Anda disarankan untuk merakam video pada situasi pencahayaan yang baik bagi mendapatkan hasil rakaman yang sedap ditonton.

Untuk hasil gambar dari OPPO A91 boleh tonton video dibawah.

https://www.youtube.com/watch?v=_qSStg6CGEw&t=217s

Kita imbas kembali pada spesifikasi, OPPO A91 dilengkapkan dengan cip Helio P70, RAM 8GB, storan 128GB, skrin AMOLED 6.4 inci, bateri 4025mAh dan pengecasan pantas 20W VOOC 3.0.

Kamera pula menghidangkan 16MP rakaman hadapan serta kuad kamera 48MP+8MP+2MP+2MP untuk bahagian belakang.
Kesimpulan

Jadi kesimpulannya, telefon pertama ini dirasakan kurang sesuai untuk anda yang tegar bermain aplikasi permainan. Walaupun kami mengatakan cip itu baik tetapi ia seakan kurang berkuasa penuh untuk mengendalikan permainan yang berat.

OPPO A91

OPPO A91 dilihat lebih sesuai kepada penggunaan biasa yang terarah kepada tontonan video dan sebagainya. Ini disebabkan paparan AMOLED peranti yang cantik, diiringi pembesar suara yang menghamburkan audio lantang.

OPPO A91

Tangan tidak lenguh untuk memegang lama kerana peranti agak ringan serta kapasiti bateri yang dapat bertahan dalam tempoh yang lama. Bagi yang berminat untuk mendapatkan OPPO A91, boleh mempertimbangkan keutamaan anda sama ada lebih kepada aplikasi permainan ataupun menonton video seperti Netflix.