Hari ini pihak Opensignal hadir kembali dengan laporan statistik terkini syarikat telekomunikasi di Malaysia. Data-data ini telah dikutip sepanjang dari Disember 2019 sehingga Februari 2020.

Untuk laporan kali ini, Maxis merupakan syarikat telekomunikasi terbaik kerana mengungguli 5 dari 8 kategori keseluruhan Opensignal.

8 kategori tersebut adalah:

  • Menonton Video
  • Bermain Permainan
  • Aplikasi Suara
  • Kelajuan Muat Turun
  • Kelajuan Muat Naik
  • Masa Pendam (Latency)
  • Ketersediaan 4G
  • Kepuasan Liputan 4G

IKLAN

Untuk kelajuan muat turun, Maxis adalah lebih pantas kerana menawarkan purata kelajuan 20.4 Mbps. Ini jauh lebih pantas dari tempat kedua Celcom yang hanya selaju 12.7 Mbps. Manakala untuk muat naik pula, Maxis mampu peroleh kelajuan 7.7 Mbps. Kelajuan ini walau bagaimanapun tidak jauh berbanding Celcom (7.3 Mbps) namun jika dibandingkan dengan Unifi (2.5 Mbps), ia jauh ke hadapan.

Untuk aspek menonton video, kadar masa pendam, dan bermain permainan, Maxis kekal masih menjuarai kategori. Jika anda mengutamakan kepuasan bermain permainan secara atas talian, Maxis dilihat merupakan rangkaian yang terbaik berbanding rangkaian lain.

Bukan semua kategori yang diungguli Maxis. Untuk perkhidmatan aplikasi suara, Unifi menjuarai kategori namun perbezaan antara kesemua rangkaian walau bagaimanapun tidak jauh bezanya.

Namun untuk 2 kategori terakhir iaitu ketersediaan 4G dan kepuasan liputan 4G, Celcom merupakan rangkaian yang terbaik. Ini bermakna untuk pengguna yang sering bergerak ke sana ke sini ke sana ke sini atas alasan kerja ataupun kerana jenis tidak senang duduk setempat, Celcom merupakan rangkaian yang patut diutamakan.

Jika anda perhatikan keseluruhan carta, anda akan perasan satu trend yang sama dari U Mobile. Rangkaian ini telah mempamerkan prestasi terburuk 6 daripada 8 kategori. Hanya kategori kelajuan muat turun dan muat naik adalah bukan yang tercorot.

Walaupun kebanyakan kategori hanya sedikit sahaja perbezaannya berbanding rangkaian lain, namun disebabkan rangkaian ini konsisten dalam prestasi yang tidak memberansangkan, mungkin ini bukti nyata apa yang diluahkan oleh pengguna U Mobile selama ini.

Untuk melihat laporan penuh laporan Opensignal ini, anda boleh ke pautan ini.