OpenSignal - Pengguna Peranti Samsung Rasai Muat Turun Lebih Laju Berbanding Huawei Dan Apple

Pengguna telefon pintar Samsung di Malaysia dilaporkan mampu menikmati muat turun lebih laju jika dibandingkan dengan Huawei dan Apple.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan oleh OpenSignal baru-baru ini, kelajuan muat turun yang dirasai pengguna Samsung dalam negara adalah 1.3Mbps lebih pantas daripada Huawei dan 3.3Mbps lebih pantas daripada pengguna iPhone.

Laporan turut mengelaskan setiap pengeluar kepada tiga kategori iaitu peranti berspesifikasi tinggi, pertengahan serta rendah. Antara model-model yang diletakkan dalam kategori peranti berspesifikasi tinggi adalah Samsung Galaxy (S8, S9, S10, Note 8, Note 9), Huawei (P20 Pro, P30 Pro, Mate 10, Mate 20), iPhone Xs dan bagi kategori ini, peranti keluaran Samsung didapati menawarkan kelajuan muat turun lebih pantas.



Sementara itu bagi segmen pertengahan pula, iPhone memberikan prestasi yang lebih baik dan Huawei pula terbaik dalam kepantasan muat turun untuk peranti berspesifikasi rendah. Kajian ini dilakukan oleh OpenSignal melibatkan 40 buah negara dan 35% daripadanya memperlihatkan pengguna Samsung merasai pengalaman muat turun lebih baik daripada dua pengeluar yang lain.

OpenSignal - How The Smartphone Affects Mobile Network Experience