OnePlus Umum Dua Buah Fon Telinga Di Samping 8T - Buds Z Dan Juga Bullets Wireless Z Bass Edition

Seiring dengan pengenalan OnePlus 8T, OnePlus turut memperkenalkan 2 buah fon telinga baharu iaitu OnePlus Buds Z dan OnePlus Bullets Wireless Z Bass Edition.

OnePlus Buds Z


Sebelum ini OnePlus Buds telah diperkenalkan. Ia adalah TWS pertama dari OnePlus. OnePlus Buds Z pula adalah versi TWS yang lebih mampu milik dari fon telinga Buds generasi pertama mereka.



Ia hadir dengan rekaan kerangka sedikit berlainan berbanding Buds sebelum ini yang seumpama telur memanjang. Pemacu audio adalah dari 10mm dan dikuasakan oleh Dolby Atmos.

Berbeza dengan Buds, Buds Z tiada ciri pembatalan aktif hingar justeru menjadikan harganya adalah lebih murah.



Jika Buds mampu bertahan sehingga 30 jam, Buds Z pula adalah sehingga 20 jam. Buds Z juga mempunyai kalis air IP55 yang lebih tahan lasak berbanding Buds yang hanya dengan IPX4.

Dari segi sambungan, ia adalah dari Bluetooth 5.0 sepertimana Buds.

Secara keseluruhan, OnePlus Buds Z merupakan alternatif OnePlus Buds dengan rekaan berlainan, ketiadaan pengecasan tanpa wayar, tanpa ciri pembatalan aktif hingar, namun yang paling penting adalah harga jualan yang lebih rendah.

OnePlus Buds Z dijual bermula $50. Untuk pasaran Malaysia, OnePlus mungkin membawa masuk fon telinga ini disebabkan sebelum ini mereka sudah memperkenalkan OnePlus Buds.

OnePlus Bullets Wireless Z Bass Edition


OnePlus Bullets Wireless Z Bass Edition merupakan edisi bass lebih dipertingkatkan berbanding OnePlus Bullets Wireless Z biasa.



Ia hadir dengan ciri pembatalan hingar dan juga masa pendam serendah 100ms. Ini adalah lebih cepat berbanding OnePlus Bullets Wireless Z biasa pada 110ms.

Mikrofon juga adalah lebih sensitif yang kini boleh menerima audio lebih baik dan turut hadir dengan ciri kalis perlindungan IP55.

Pemacu audio yang disertakan adalah dari 9.2mm. Untuk harga jualan, ia dipasarkan pada Rs 1,999 (RM113).

 

Berkaitan