OnePlus Tiada Perancangan Untuk Telefon Boleh Lipat Dalam Masa Terdekat, Bakal Tumpu Kearah Penawaran TV Dan Platform Pintar Automotif

Tatkala gergasi pengeluar telefon pintar dan pesaing-pesaingnya memperkenalkan peranti dengan kebolehan boleh lipat, kita masih lagi belum mendengar sebarang penawaran sedemikian dari OnePlus.

Pada satu perjumpaan dengan pelajar di European Institute of Design di Milan, CEO syarikat, Pete Lau menyatakan mereka masih belum bersedia menawarkan peranti boleh lipat untuk pasaran dalam masa terdekat.

Lau berpandangan, telefon pintar boleh lipat bukan sahaja menelan kos yang tinggi tetapi secara asasnya, selain skrin boleh lentur, tidak banyak perbezaan ketara berbanding dengan telefon pintar biasa sedia ada.

Namun begitu, OnePlus dilihat tidak akan meninggalkan terus segmen tersebut, cuma penawarannya mungkin menunggu pasaran tersebut lebih matang pada masa hadapan.

OnePlus TV sedang dibangunkan

Terdahulu, OnePlus pernah dikhabarkan akan melancarkan OnePlus TV sebagai langkah mempelbagaikan penawaran syarikat.

Lebih gemar menyebutnya sebagai "paparan pintar" berbanding TV, Lau menganggap penggunaan alat kawalan TV sudah ketinggalan dan menggambarkan sebuah paparan sokongan AI yang mampu melakukan pelbagai perkara. Syarikat dikatakan masih dalam usaha untuk mempersiapkannya dan menurut Lau, masih terlalu awal untuk mendedahkan bilakah produk ini akan ditawarkan.

Mahu turut serta dalam lapangan automotif dan produk kegunaan pejabat

Selain TV, Lau turut menyatakan OnePlus akan menceburi lapangan automotif, bukan untuk membangunkan kereta tetapi lebih kepada platform atau perisian pintar. Seiring dengan kemajuan dalam rangkaian generasi kelima, 5G, OnePlus dijangka akan memanfaatkannya seperti menghasilkan pembantu maya.

Tidak ketinggalan juga, OnePlus juga mahu memberikan fokus terhadap produk bagi kegunaan pejabat. Adakah syarikat dari China ini menawarkan perkhidmatan berasaskan storan awan atau lain-lain kelengkapan, ia sememangnya menarik untuk didengari dan untuk itu, sama-sama kita nantikan informasi lanjut dari OnePlus pada masa hadapan.

Sumber: R.it