OnePlus Memfokuskan 22 Penambahbaikan Terhadap Kamera Dan Kualiti Rakaman Video

Pengguna akan menerima penambahbaikan itu menerusi kemas kini terbaru OxygenOS.


Pada Disember tahun lalu, OnePlus telah pun mengadakan satu pertemuan bersama sekumpulan pengguna tegar peranti mereka di dalam forum Open Ears (OEF) di bandar New York.

Forum itu bertujuan bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada para penggunanya tentang penambahbaikan yang perlu dilakukan ke atas telefon pintar keluaran mereka.

Antara perkara yang hangat diperbincangkan adalah terhadap kualiti kamera dan kualiti rakaman video telefon pintar OnePlus. Hasil daripada forum itu, OnePlus telah mengumumkan bahawa mereka akan menambah baik keupayaan kamera dan rakaman video menerusi kemas kini OxygenOS yang akan diterima oleh para pengguna OnePlus.

OnePlus memaklumkan, mereka akan memfokuskan ke atas 22 penambahbaikan yang akan dilakukan ke atas kamera peranti OnePlus.

Antara penambahbaikan yang akan dilakukan itu adalah seperti exposure, warna, konsistensi auto fokus, tona kulit, penstabilan video, mod Pro video, ketajaman imej, mod media sosial dan sokongan rakaman video4K.

Selain itu, OnePlus juga dalam perancangan untuk memperkenalkan beberapa ciri baru kepada kamera mereka seperti ciri kamera yang lebih pantas, ciri zoom dalam selang masa, ciri mod malam untuk rakaman video, ciri suntingan video dan penggunaan pelekat dan emoji AR ketika membuat rakaman video.

OnePlus menyatakan bahawa mereka akan cuba memperkenalkan beberapa ciri baru ini kepada pengguna mereka dalam tahun ini juga.