OnePlus 6T Mula Kehabisan Stok, Beri Gambaran OnePlus 7 Semakin Menghampiri

OnePlus merupakan satu jenama yang meningkat naik beberapa tahun dahulu, di mana ia menawarkan peranti berkuasa tinggi dengan harga lebih mampu milik.

Walaupun mereka dikatakan sudah tidak lagi mempunyai ciri-ciri tersebut, OnePlus kekal menjadi antara pilihan bagi mereka yang mahukan sebuah peranti kelas perdana.

Bercakap mengenainya, model terkini mereka, OnePlus 6T dilaporkan sudah mula kehabisan stok di pasaran UK. Melihat perkara itu, ia seolah-olah memberi gambaran mengenai kedatangan generasi berikutnya, OnePlus 7.

Kapsyen: OnePlus UK


Ini kerana mengikut rekod terdahulu, OnePlus akan menghentikan bekalan bagi model terkini mereka menjelang pelancaran generasi berikutnya.

Selain itu, saluran Concept Creator di YouTube telah memuatnaik video yang memaparkan rekaan konsep bagi peranti berkenaan baru-baru ini.

https://youtu.be/71RGvZmFAzk

Menurut video tersebut, OnePlus 7 akan hadir dengan tetapan kamera utama tri-lensa serta kamera hadapan jenis periskop, sama seperti apa yang diura-urakan sebelum ini.

Apa yang hampir pasti, OnePlus 7 bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini iaitu di antara April hingga Jun, mengambil kira tarikh pelancaran model-model asas mereka terdahulu.

Maka dengan itu, kita mungkin akan mendengar kenyataan rasmi dari pihak OnePlus sendiri dalam masa terdekat.

 

Sumber: Forbes   OnePlus UK