OnePlus 6T Kini Rasmi, Pra-Tempah Bermula Pada Harga RM2588

Sudah dibualkan sejak sekian lama, OnePlus 6T kini akhirnya sudah rasmi dipasaran. Disebut sebagai model yang ditambah baik berbanding model OnePlus 6, pra-tempahannya sudah pun mula dibuka bermula dengan nilai RM2588.



Ia hadir dengan skrin AMOLED 6.41 inci beserta rekaan takuk lebih kecil. Bahagian dalamannya dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 845, dan beberapa variasi memori; RAM 6GB/ 128GB, RAM 8GB/128GB dan RAM 8GB/256GB.



Sistem kamera pula menggunakan dwi kamera melalui gabungan 20MP dan 16MP dengan sensor aperture f/1.7.

Melengkapi sistem kamera adalah mod Nightscape yang membolehkan pengguna merakam foto waktu rendah pencahayaan dalam masa 2 saat.

Bahagian hadapan pula menggunakan lensa 16MP dan sistem nyahkunci pula dilengkapi dengan pengimbas cap jari dalam paparan.



OnePlus 6T akan menjalankan sistem operasi Android 9 Pie bersama antaramuka OxygenOS. Dijana dengan bateri 3700mAh berikut merupakan harga mengikut variasi pilihan.

  • 6GB/128GB: RM 2588

  • 8GB/128GB: RM 2888

  • 8GB/256GB: RM 3188


Difahamkan ia akan mula ditawarkan secara fizikal untuk pasaran Malaysia bermula 7 November depan.