OnePlus 6T Dilancarkan Sehari Lebih Awal Dari Acara Apple Bagi Mengelakkan Pertembungan Secara Langsung

OnePlus bakal melancarkan telefon pintar terbaru dan terbaru di sini bukanlah sesuatu yang misteri kerana tibalah masa bagi mereka menyegarkan siri OnePlus 6 dengan OnePlus 6T. Tidak banyak penambah baikan akan berlaku untuk OnePlus 6T dan khabar angin setakat ini hanya menyebut tentang takuk berbentuk titisan air dan juga pengimbas cap jari terbina di dalam skrin.



Tetapi ada perkara yang perlu dibuat oleh OnePlus agar majlis pelancaran OnePlus 6T tidak diganggu. Ini kerana kalau mengikut perancangan awal, OnePlus 6T akan dilancarkan di New York pada 30 Oktober.

Namun pada hari yang sama, Apple turut akan mengumumkan siri terbaru iPad mereka yang mereka dakwa akan membawakan rekaan yang berlainan. Tambah lebih malang lagi, acara Apple turut akan diadakan di New York dan OnePlus dikatakan mahu tumpuan yang tidak berbelah bagi kepada produk mereka.

Oleh itu, majlis OnePlus 6T telah diubah sehari awal iaitu pada 29 Oktober. Setakat ini tiket untuk acara tersebut sudah habis dijual dan OnePlus sedang menimbang untuk membayar kos tambahan untuk pemegang tiket jika mereka terpaksa mengubah jadual penerbangan mereka atau memulangkan harga tiket jika acara tersebut tidak dapat dihadiri.

Sumber