OnePlus 6 Bakal Hadir Ke Pasaran Malaysia Pada Awal Bulan Jun

Seperti yang kita sedia maklum, peranti perdana OnePlus 6 telah dilancarkan pada 16 Mei yang lalu di London. Dan menurut maklumat terbaru yang kami perolehi, peranti ini bakal dilancarkan ke pasaran Malaysia pada awal bulan hadapan.

Syarikat Mi Han Sdn Bhd yang menggantikan Brighstar sebagai pengedar tunggal untuk peranti OnePlus 6 di Malaysia, memberitahu pihak kami bahawa dengan pemansuhan GST yang bermula dari 1 Jun ini, orang ramai boleh mendapatkan peranti ini dengan harga yang lebih rendah.

Mereka berkata, sebelum ini harga yang ditetapkan untuk peranti ini ialah RM 2549 (64GB), RM 2899 (128GB) dan RM 3199 untuk variasi 256GB.



Sebagai peringatan untuk pembaca, OnePlus 6 ini akan menggunakan cip pemprosesan terbaru, Qualcomm Snapdragon 845 dan disokong oleh dua variasi memori iaitu 6GB dan 8GB RAM. Atas sebab itu, OnePlus telah mengambil slogan 'The Speed You Need' sebagai slogan rasmi peranti ini. Selain itu, peranti ini akan beroperasi menggunakan antaramuka OxygenOS yang berlandaskan Android 8.1 Oreo.

Bagi mereka yang berminat untuk memiliki atau mengetahui dengan lebih lanjut mengenai peranti ini boleh mengikuti laman Facebook OnePlus Malaysia. Anda juga boleh membuat pra-tempahan atau mendapatkan peranti OnePlus 6 ini melalui gerai rasmi mereka di Lazada tidak lama lagi.