NUR Alert Akan Disebar Kepada Pengguna Melalui MMS

Bertujuan bagi menyebar maklumat kanak-kanak hilang dengan pantas.







Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan mereka dengan kerjasama penyedia perkhidmatan selular di Malaysia (Maxis, Digi, Celcom dan U Mobile) akan mengedarkan satu perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) kepada setiap pengguna bagi mendapatkan persetujuan pengguna terhadap penerimaan hebahan kanak-kanak yang hilang.

Hebahan kanak-kanak hilang yang dikenali sebagai NUR (National Urgent Response) Alert merupakan inisiatif kerajaan yang dipengerusikan oleh Polis DiRaja Malaysia bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah mendapat perlindungan daripada eksploitasi, keganasan dan pengabaian.

Jadi atas dasar keprihatinan terhadap kanak-kanak yang dilaporkan hilang, perkhidmatan selular akan menghantar hebahan melalui perkhidmatan pesanan multimedia (MMS) yang mengandungi imej dan identiti kanak-kanak terbabit kepada setiap pengguna yang bersetuju memilih untuk menerima hebahan NUR Alert melalui SMS yang bakal diedarkan oleh pihak pemberi perkhidmatan selular masing-masing.

Melalui cara ini, NUR Alert akan disebar dengan kadar yang segera sekaligus membantu pihak penguatkuasa menjalankan risikan dan tangkapan dengan pantas.

Pengguna perkhidmatan selular tidak akan dikenakan sebarang caj oleh penyedia perkhidmatan untuk pendaftaran dan penerimaan hebahan MMS-NUR Alert.




Berkaitan