Nubia Z18 - Peranti Kelas Perdana Terbaru ZTE Bakal Hadir Dengan Snapdragon 845

Jika Huawei ada Honor, ZTE pula memiliki Nubia sebagai syarikat di bawah naungannya. Jenama Nubia mula melonjak naik semasa mereka memperkenalkan peranti menfokuskan permainan video, Nubia Red Magic.

Kini, mereka dilaporkan sedang dalam proses terakhir untuk memperkenalkan peranti kelas perdana terbaru mereka, Nubia Z18. Peranti berkenaan akan menggunakan sistem cip premium dari Qualcomm, Snapdragon 845, menurut laporan Geekbench.


Imej Tidak Rasmi Nubia Z18 (Kredit : TENAA)


Nubia sebelum ini telah melancarkan Nubia Z18 Mini dengan spesifikasi lebih rendah. Selain penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 660, peranti itu juga menggunakan unit pemprosesan grafik Adreno 512 berbanding Adreno 630 yang digunapakai pada model Z18.

Nubia Z18 ini juga dikatakan akan hadir dengan dua pilihan variasi iaitu 6GB RAM + 64GB ROM dan 8GB RAM + 128GB ROM. Peranti ini akan dijana oleh bateri dengan kapasiti 3,350 mAh dan dijalankan dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo.


Imej Nubia Z18 Mini (Kredit : GizmoChina)


Dari segi kamera pula, peranti ini menggunakan kamera utama dwi-lensa 24 MP dan 8 MP. Manakala bagi kamera swafoto pula, Nubia Z18 akan hadir dengan lensa 8 MP. Peranti ini boleh dinyahkunci melalui imbasan cap jari. Tiada sokongan pengesanan wajah dinyatakan setakat ini.

Selain itu, terdapat juga laporan mengatakan Nubia akan turut memperkenalkan satu lagi model dibawah siri yang sama iaitu Nubia Z18s. Namun setakat ini, tiada maklumat terbaru yang boleh dipercayai berkenaan peranti tersebut.

Sumber