Nubia Z18 Kini Rasmi, Dilengkapi Cip Snapdragon 845 & Nisbah Paparan 91.8%

Nubia yang sebelum ini dikenali dengan peranti menfokuskan permainan video, Nubia Red Magic telah melancarkan sebuah lagi peranti kelas perdana baru-baru ini. Nubia Z18 adalah peranti yang menyambung delegasi siri Nubia Z17 yang diperkenalkan pada tahun lepas.

Z18 ini didatangkan dengan cip terkini Qualcomm Snapdragon 845 selain mempunyai takuk kecil seperti yang dimiliki oleh Essential Phone. Ciri itu secara tidak langsung memberikan model Z18 ini nisbah paparan yang lebih besar iaitu ~91.8% daripada tubuh peranti.



Paparan hadapan peranti ini hadir dengan panel IPS LCD bersaiz 5.99-inci dengan resolusi FHD+. Bingkai di bahagian atas dan bawah adalah amat nipis, manakala di bahagian sisi panel skrin pula seolah-olah tiada bingkai sama sekali.

Beralih kepada spesifikasi dalaman pula, Nubia Z18 akan dikuasakan dengan dua pilihan memori iaitu 6GB dan 8GB serta simpanan dalaman pada 64GB dan 128GB. Malangnya, tiada sokongan kad mikroSD disediakan.

Dari segi kamera pula, ia hadir dengan dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 16MP f/1.6 serta 24MP f/1.6. Kamera swafoto pula dilengkapi oleh lensa 8MP dengan bukaan lensa f/2.0.



Selain daripada itu, Nubia Z18 ini dijana oleh bateri berkapasiti 3,450 mAh di mana ia turut menyokong fungsi pengecasan pantas Qualcomm Quickcharge 4.0. Tambahan pula, ia turut hadir dengan sistem kawalan suhu yang dipanggil Neo Power.

Buat masa ini, Nubia Z18 sudah boleh dipra-tempah di China dengan harga pasaran sekitar RMB 2,799(~RM 1,700) bagi variasi 6GB RAM+64GB dan RMB 3,299(~RM 2,003) bagi model 8GB RAM+128GB.



Selain warna hitam dan merah, peranti ini turut hadir dengan edisi khas Starry Night yang akan dipasarkan dengan harga RMB 3,599(~RM 2186). Tiada sebarang maklumat mengenai ketibaan peranti ini di Malaysia yang berjaya kami perolehi setakat ini.

 

Kredit gambar : Nubia

Sumber