Nubia X: Peranti Dua Muka Dengan Perisa Tersendiri

Trend telefon pintar tahun ini rata-rata menyaksikan penawaran skrin paparan yang lebih maksimum dengan pengenalan takuk di dalamnya. Ada beberapa OEM pula menampilkan solusi mekanikal seperti Vivo Nex dan juga Oppo Find X yang menggunakan kamera hadapan yang disimpan di ruang yang berasingan.

Nubia, sebuah jenama di bawah ZTE telah memperkenalkan Nubia X yang membawakan satu lagi perisa terbaru dalam menyelesaikan permasalah paparan skrin penuh.



Peranti terbaru Nubia ini menampilkan dua skrin paparan di bahagian hadapan dan belakang peranti. Ini secara langsung memastikan skrin paparan utama mempunyai paparan hampir 100% tanpa diganggu takuk.

Skrin paparan utama Nubia X berukuran 6.26 inci dari jenis LCD yang mempunyai resolusi sehingga 2280 x 1080. Skrin kedua di bahagian belakang pula adalah dari jenis OLED yang berukuran 5.1 inci dengan resolusi maksimum 1520 x 720.

https://twitter.com/UniverseIce/status/1057555736203415552

Skrin kedua Nubia X berfungsi sepenuhnya seperti paparan utama dan boleh ditukar pada bila-bila masa. Modul kamera yang diguanakan adalah dwi-kamera dan kamera utama menampilkan sensor 16MP dengan f/1.8 manakala kamera kedua pula adalah 24MP dengan f/1.8. Fungsi autofokus dan A.I turut disertakan sekali.



Spesifikasi lain pula adalah sama seperti peranti flagship tahun 2018 dengan cip Qualcomm Snapdragon 845, RAM dalam pilihan 6GB atau 8GB dan kapasiti bateri sehingga 3800 mAh. Pengimbas cap jari pula diletakkan di bahagian tepi peranti.

Malangnya, Nubia X hanya terdapat untuk pasaran China dan mula dijual dengan harga CNY 3,299 (RM 1,974.07) untuk model asas dan CNY 4,199 (RM 2,512.45) untuk model tertinggi.