Nubia Red Magic - Peranti Terbaru Memasuki Dunia 'Gaming' Mudah Alih

Pada 19 April, syarikat pengeluar peranti telefon pintar dari China, Nubia telah melancarkan peranti khas untuk permainan video pertama mereka, Nubia Red Magic di China. Peranti ini dijangka akan menyaingi dua peranti khas permainan video yang telah dilancarkan lebih awal iaitu Razer Phone serta Xiaomi Black Shark.



Syarikat yang merupakan anak syarikat kepada ZTE ini telah mengumumkan bahawa peranti permua ini akan mempunyai sistem penyejukan tersendiri bagi mengelakkan daripada peranti cepat panas semasa permainan video sedang dimainkan. Dengan reka bentuk yang menarik, ia dijangka akan mendapat sambutan hangat bagi peminat permainan video mudah alih di negara ini.

Peranti ini akan disokong oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 835 dengan 8GB RAM serta 128 GB kapasiti simpanan yang dijangka mampu untuk memberi prestasi terbaik ketika bermain. Selain itu, peranti ini juga akan dibekalkan dengan bateri berkapasiti 3,800 mAh dan juga paparan skrin 5.99 inci FHD+ .



Bagi kamera peranti ini pula, ia akan hadir dengan kamera utama 24 MP f/1.7 yang berkemampuan merakam video dengan resolusi 4K pada 30fps serta kamera hadapan 8 MP f/2.0yang mampu merakam video pada kualiti definisi tinggi penuh 1080p. Peranti ini turut memiliki pencahayaan RGB pada bahagian belakang serta ciri istimewa untuk mengurangkan jumlah aplikasi yang berjalan dilatar bagi memberi kadar FPS terbaik kepada pemain.

Harga jualan bagi Nubia Red Magic ini adalah dijangka sekitar RM 1535 (~$399) untuk pembeli awal menerusi kempen IndieGogo, namun setakat ini belum ada maklumat berkenaan harga sebenar peranti ini. Tarikh berkenaan pelancaran peranti ini buat pasaran Malaysia juga masih belum diketahui.

Ikuti laman web rasmi Nubia untuk maklumat berkenaan peranti ini serta peranti keluaran Nubia yang lain.

Sumber