Nubia Lancarkan Siri Red Magic 6, Telefon Pertama Dengan Paparan 165Hz

Nubia hari ini menambah lagi telefon gaming mereka dengan melancarkan Red Magic 6 dan Red Magic 6 Pro. Kedua-dua telefon ini hadir dengan spesifikasi yang hampir sama.

Red Magic 6 mempunyai bateri besar 5050mAh dengan pengecasan 66W sementara 6 Pro lebih kecil iaitu 4500mAh tetapi dilengkapi pengecasan 120W.

Penawaran kali ini lebih menarik kerana kedua-duanya tampil dengan paparan 165Hz dan menjadikan mereka sebagai telefon pertama yang hadir sebegitu.

Di samping itu, Red Magic 6 dan 6 Pro masing-masing menggunakan skrin 6.8 inci FHD+ AMOLED, kecerahan 630 nits dan kadar pensampelan sentuh 500Hz.



Disebabkan ini adalah telefon gaming, ia dikuasakan cip Snapdragon 888 yang dipadankan memori sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 hingga 256GB.

Selain kadar penyegaran, siri Red Magic juga disokong sistem penyejukan baru ICE 6.0 Cooling yang mana kipas di dalam akan berpusing sehingga 18,000 RPM (Red Magic 6) dan 20,000 RPM (Red Magic 6 Pro).

Dari segi kamera, Nubia meletakkan tiga tetapan kamera dimana 64MP utama, 8MP ultra lebar dan 2MP makro.

Harga jualan bagi siri ini adalah bermula 3799 yuan (~RM2388) bagi Red Magic 6. Manakala Red Magic 6 Pro bermula 4399 yuan (~RM2765).

Kapsyen: Transparent Edition


Dalam pada itu, terdapat juga Transparent Edition yang mana hadir dengan 16GB+256GB dan 18GB+512GB. Ia dijual bermula 5599 yuan (~RM3519).

Kesemua telefon ini hanya dipasarkan di China sahaja buat masa sekarang dan pelancaran global adalah pada 16 Mac 2021.

Sumber: Notebookcheck