Notifikasi Amaran Penggunaan Skrin Tiruan Akan Dipaparkan Pada Kesemua Model iPhone 11

Ia terkandung dalam kemas kini iOS 13.1.


Dalam kemas kini iOS 13.1 yang baru dilepaskan semalam kepada para pengguna iPhone dan iPod touch, Apple turut memuatkan paparan notifikasi penggantian skrin tiruan ke dalam model iPhone 11 , 11 Pro dan 11 Pro Max.

Notifikasi pemberitahuan ini akan dipaparkan sekiranya pengguna menggantikan skrin iPhone mereka dari pihak ketiga, bukan dari pusat servis Apple.

Ia ada dinyatakan dalam nota kemas kini iOS 13.1.

"Includes notifications for when the display on your iPhone is unable to be verified as a new, genuine Apple display in iPhone 11, iPhone 11 Pro, and iPhone 11 Pro Max".

Kapsyen: Kredit: Apple


Apple menyatakan, notifikasi yang dipaparkan itu tidak akan mengganggu penggunaan bersama peranti tersebut. Tetapi dalam tempoh 4 hari pertama, pengguna akan melihat paparan notifikasi amaran itu di atas Lock Screen peranti.

Manakala untuk tempoh 15 hari pula, notifikasi tersebut akan dipaparkan di bahagian Settings peranti iOS. Selepas tamat tempoh itu, pengguna boleh melihat notifikasi amaran penggunaan skrin tiruan menerusi Settings > General > About.

Apple juga mengingatkan kepada pengguna  bahawa, sekiranya pengguna menggantikan skrin iPhone mereka dengan produk tiruan, mereka mungkin akan berdepan isu ciri Multi-Touch, tetapan kadar cerahan dan warna serta penggunaan kuasa bateri yang tidak menentu.