HMD Global baru-baru ini telah memperkenalkan siri Nokia baharu, iaitu X10 dan X20 yang mana masing-masing adalah peranti yang paling berkuasa berbanding siri G dan siri C.
Apa yang menariknya, kedua-duanya tampil dengan sokongan rangkaian 5G dan Nokia menjanjikan untuk memberi sokongan kemas kini sistem perisian serta sekuriti selama 3 tahun.
Walaupun ia adalah berkuasa akan tetapi ia tidak setanding berbanding jenama yang lain. Ini kerana, X10 dan X20 hanya dikuasakan cip Snapdragon 480 8nm bersama-sama GPU Adreno 619.
Selain itu, kedua-duanya dilengkapi skrin berukuran 6.67 inci menggunakan panel LCD dan kekurangan kadar segar semula yang tinggi dimana ia sudah menjadi kebiasaan bagi peranti Android masa kini.
Sekiranya anda mementingkan memori dan storan yang besar, X20 menawarkan pilihan 6/128GB dan 8/128GB. Sementara X10 pula adalah 4/128GB, 6/64GB dan 6/128GB. Namun, peranti tersebut mempunyai slot tambahan untuk kad mikroSD.
Tambahan lagi, tumpuan utama diberikan kepada Nokia X20 kerana ia tampil kamera utama 64MP yang mengekalkan sistem kamera Zeiss. Turut digandingkan 5MP ultra lebar, 2MP makro dan 2MP depth. Manakala kamera hadapan beresolusi 32MP.
Bagi Nokia X10 pula, kamera utamanya hanyalah 48MP akan tetapi masih hadir sistem Zeiss. Sementara 3 kamera yang lain masih sama dengan X20. Kekurangan dilihat pada lensa swafoto, iaitu 8MP sahaja.
Antara ciri lain, ia dimuatkan bateri 4470mAh dengan pengecasan pantas 18W. Namun, Nokia menjanjikan penggunaannya boleh bertahan sehingga 2 hari. Malah, Nokia X10
Kedua-dua telefon ini juga menjalankan sistem operasi Android 11 berbanding model G20, G10, C10 dan C20 yang mana menggunakan Android 11 Go.
Nokia X20 dan X10 masing-masing dijual dengan harga bermula €350 (~RM1723) dan €310 (~RM1526).
Menerusi pengenalannya, adakah anda masih mahukan peranti baharu Nokia ini kerana tanda harganya bukanlah murah dan spesifikasinya kurang menarik perhatian buat pengguna.
Sumber: gsmarena