Nokia Sahkan Acara Rasmi Mereka Di MWC 2019, Beri Gambaran Perkenalan Nokia 9 PureView

Nokia yang kini dimiliki oleh HMD Global baru-baru ini telah mengesahkan tarikh bagi persidangan rasmi mereka dalam acara MWC 2019 hujung bulan hadapan.



Ketua Eksekutif Produk Nokia, Juho Sarvikas telah mengumumkan persidangan rasmi mereka di MWC nanti akan diadakan pada 24 Februari melalui satu kicauan di Twitter-nya semalam.

Pengumuman berkenaan sekaligus memberi gambaran bahawa Nokia 9 PureView akhirnya akan dilancarkan secara rasmi pada tarikh tersebut.

Sebelum ini, Nokia pernah beberapa kali menangguhkan pelancaran model flagship terbaru mereka itu dan kali terakhir, mereka mengatakan ia akan dilancarkan semasa MWC nanti.

Kapsyen: @91Mobiles


Peranti dengan lima kamera utama pertama di dunia itu dijangka akan dilancarkan bersama dengan dua lagi model iaitu Nokia 8.1 Plus dan Nokia 6.2.

Bagaimanapun, sebelum ini timbul ura-ura mengatakan bahawa Nokia 8.1 Plus dan Nokia 6.2 ini adalah sebuah peranti yang sama.

Persidangan MWC 2019 akan berlangsung di Barcelona, Sepanyol pada 25 Feb-28 Feb nanti namun ada beberapa pengeluar yang memilih untuk memulakan persidangan mereka sebelum pembukaan rasmi.

 

Sumber: GizmoChina