Nokia Memperkenalkan 4 Telefon Baharu, Harga Bermula RM120

HMD Global selaku pengeluar telefon bimbit Nokia telah mengumumkan 4 produk baharu yang akan ditawarkan di Malaysia. Ia termasuk 2 telefon pintar, iaitu Nokia 7.2 yang hadir dengan tetapan 3 kamera 48MP yang berkuasa tinggi bersertakan teknologi Kuad Pixel dan ZEISS Optics dan Nokia 6.2 yang memperlihatkan gandingan PureDisplay serta hayat bateri bertempoh 2 hari.

Bagi mengembangkan sayap mereka dalam penghasilan telefon asas, Nokia telah menampilkan Nokia 110 yang memfokuskan ke arah aspek hiburan seperti pemain MP3, dan radio FM. Manakala, Nokia 2720 Flip pula, sebuah telefon yang kompak mempunyai ciri kebolehgunaan yang tinggi selari dengan pengintegrasian teknologi AI.



“Malaysia sejak sekian lama telah menjadi pasaran yang istimewa bagi kami. Ramai pengguna setia Nokia berada di negara ini, dan mereka mendorong kami untuk membawakan prestasi dan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik melalui portfolio telefon asas serta telefon pintar kami,” kata Ravi Kunwar, Ketua Pan-Asia, HMD Global.

Nokia juga akan terus membekalkan telefon mereka dengan pengemaskinian sekuriti bulanan selama 3 tahun untuk memberi sebuah pengalaman yang terbaik buat para pengguna. Dengan adanya kerjasama yang terjalin dengan Google, Nokia akan memastikan juga semua peranti Android One dan Android Go akan terus diberi jaminan penegmaskinian sistem operasi selama 2 tahun.

HMD Global sentiasa memementingkan prinsip utama mereka dalam penghasilan produk berlandaskan ciri daya tahan, inovasi, serta kualiti yang sesuai dengan cogan mereka, "It Just Keeps Getting Better". Mereka juga turut menyatakan komitmen untuk menyampaikan sebuah pengalaman 5G bergred premium pada tahun 2020.



Harga pasaran

  • Nokia 7.2 - RM1,299 dijual bermula 20 September 2019 (Pilihan warna; 'Charcoal', 'Ice', 'Cyan Green' menerusi varian memori 6GB/128GB)

  • Nokia 6.2 - RM899 bermula awal bulan Oktober 2019 dan boleh juga dibeli di kedai rasmi Nokia Malaysia di Lazada (Warna; Hitam Seramik menerusi varian memori 4GB/64GB)

  • Nokia 110 - RM120 yang juga boleh didapati bermula awal bulan Oktober (Pilihan warna; 'Ocean Blue, Hitam dan Merah Jambu)

  • Nokia 2720 Flip - RM359 boleh didapati sejak 20 September 2019 (Warna; Hitam)