Nokia Kembali Dengan Rekaan Telefon Boleh Lipat - Nokia 2720 Flip

Baterinya mampu bertahan sehingga 27 hari.


HMD Global telah memperkenalkan semula rekaan telefon boleh lipat yang dilengkapi butang fizikal pada model terbaru telefon pintar Nokia 2720 Flip.

Peranti ini dilengkapi dengan skrin berwarna bersaiz 2.8 inci di bahagian dalamnya serta sebuah lagi skrin kecil monokrom diluar yang bersaiz 1.3 inci untuk paparan notifikasi.

Telefon pintar ini dikuasakan oleh sistem operasi KaiOS dan dilengkapi dengan cip pemprosesan Qualcomm 205.

Selain itu ia turut dimuatkan dengan memori RAM berkapasiti 512MB serta saiz stroran terbina dalam 4GB. Tetapi pengguna boleh menaik taraf kapasiti storannya sehingga 32GB menerusi slot kad SD yang ada padanya.

Manakala baterinya pula yang berkapasiti 2,000mAh dan boleh ditanggal mampu mengoperasikan telefon ini sehingga lebih daripada 27 hari (dalam mod sedia, bergantung pada mod rangkaian yang diaktifkan).

Nokia 2720 Flip didatangkan bersama pelbagai aplikasi terbina dalam termasuklah  Google Assistant, WhatsApp dan juga Facebook.

Telefon terbaru dari HMD Global ini dijangka akan mula berada di pasaran dalam bulan September ini dan berharga USD120.

https://www.youtube.com/watch?v=XgIXhokpgTQ

Untuk info lebih lanjut, sila layari laman muka Nokia 2720 Flip.