Nokia Akan Lancarkan Nokia 1 dan Nokia 7 Plus di Malaysia 10 April Ini

Pihak Nokia Mobile Malaysia pada hari ini telah mengumumkan bahawa satu majlis pelancaran bagi dua model keluaran terbaru mereka iaitu Nokia 1 dan Nokia 7 Plus untuk pasaran Malaysia pada 10 April ini. Pengumuman itu telah dibuat menerusi jemputan rasmi ke majlis yang akan diadakan di The Publika, Kuala Lumpur itu kepada rakan-rakan media mereka.

Nokia 1 akan menjadi peranti telefon pintar paling mampu dimiliki keluaran Nokia serta turut menjadi peranti pertama keluaran HMD Global yang menggunakan sistem operasi Android Go. Android Go dicipta khas oleh Google untuk menyokong peranti peringkat masukan dan ianya dijangka akan berfungsi dengan sempurna dengan peranti Nokia 1 yang akan dilengkapi dengan memori 1GB RAM.



Dengan paparan skrin 4.5 inci IPS, menggunakan cip pemproses MediaTek MT6737M dan storan sebesar 8GB, Nokia 1 mampu untuk menjadi peranti mampu milik yang baik. Selain itu, bagi kamera pula, Nokia 1 akan dilengkapi dengan 5 MP untuk kamera utama dan 2 MP untuk kamera hadapan. Bateri boleh tanggal Li-on dengan kemampuan kuasa  2150 mAh akan hadir bersama peranti ini. Terdapat dua pilihan warna untuk Nokia 1 ini iaitu merah dan biru gelap.



 

Sementara itu, bagi Nokia 7 Plus pula, ia merupakan sebuah peranti yang agak besar dengan keluasan paparan skrin 6 inci namun hadir dengan ketebalan yang nipis bagi memudahkan pemilik untuk menyimpan peranti ini di dalam poket seluar. Menurut HMD Global, peranti ini akan memiliki kamera yang mempunyai kualiti seperti peranti perdana kerana bakal dilengkapi dengan dua kamera utama serta kualiti lensa Zeiss yang baik.



Peranti ini akan dilengkapi dengan dua kamera utama 12 MP (f/1.75) + 12 MP (f/2.6) serta kamera hadapan 16 MP (f/2.0). Bagi kualiti rakaman video pula, kamera utama mampu merakam dengan kualiti 2160p pada 30 frame per saat. Nokia 7 Plus ini akan menggunakan sistem operasi Android Oreo 8.0 serta bakal menggunakan cip pemprosesan Qualcomm SDM660 Snapdragon 660. Jika Nokia 1 didatangi dengan bateri berkuasa 2150 mAh, peranti Nokia 7 Plus pula akan hadir dengan bateri yang mempunyai kemampuan kuasa sebesar 3800 mAh. Peranti ini juga akan dilancarkan dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan juga putih.



Harga pasaran kedua-dua peranti ini akan diumumkan oleh pihak Nokia pada majlis pelancaran itu nanti.

Sumber