Nokia 9 VS OnePlus 5: Mana Satu Yang Akan Bersinar Semasa Pelancaran?

Pertarungan telefon flagship membuka tirai dengan pelancaran LG G6 diikuti dengan Samsung Galaxy S8 dan seterusnya Xiaomi Mi 6.

Kita masih lagi menunggu apa yang ditawarkan oleh Apple dan OnePlus untuk tahun ini.

Namun tahun ini, pemain lama bakal memasuki segmen flagship iaitu Nokia dengan Nokia 9.

Dengan Apple dijangka mengeluarkan peranti utama mereka pada bulan september ini, tumpuan teralih kepada OnePlus 5 dan juga Nokia 9.

OnePlus seperti kebiasaan dengan strategi pemasaran mereka yang mensasarkan peranti berspesifikasi tinggi dengan kos yang lebih rendah dari pengeluar lain.

Nokia pula yang sebelum era pra-android mendominasi pasaran telefon bimbit dijangka akan melakukan comeback dengan peranti Nokia 9 mereka.

Di sini kita akan cuba melakukan perbandingan perkakasan dan spesifikasi yang sudah tertiris selama ini.

Paparan

OnePlus 5 bakal meningkatkan dari segi paparan mereka yang selama ini menggunakan paparan resolusi penuh ke Quad HD.

Saiz pula mungkin kekal pada 5.5 inci.

Mungkin kita dapat melihat paparan yang lebih menarik dari telefon pintar utama mereka.

Nokia pula tidak mahu ketinggalan dan bakal menggunakan paparan Quad HD menggunakan paparan OLED yang sinonim dengan paparan Samsung.

Bagi kategori ini, Nokia dilihat mempunyai kelebihan sedikit kerana menggunakan panel OLED yang terbukti membangkitkan warna yang lebih menarik.

Cip, RAM dan Ruang Simpanan

Kedua-dua peranti ini bakal menggunakan cip yang sama iaitu Qualcomm Snapdragon 835.

Berbeza pula untuk ruang RAM dan penyimpanan, Nokia 9 akan datang dengan varian 6 GB dan 8 GB RAM.

Untuk ruang penyimpanan pula, Nokia 9 akan menawarkan varian 64 GB dan 128 GB.

OnePlus 5 juga menawarkan ruang RAM yang sama dengan Nokia 9 tetapi untuk ruang penyimpanan pula, OnePlus 5 didatangkan dengan pilihan 128 GB dan 256 GB.

Di sini nampaknya OnePlus 5 memberi pilihan yang lebih baik dengan menyertakan pilihan 256 GB untuk ruang penyimpanan.

Ini kerana semakin hari aplikasi yang terkini akan menggunakan ruang penyimpanan anda dengan banyak dan mungkin menghadkan ruang untuk simpanan peribadi anda pula.



Kamera

Setakat ini apa yang kita dengar hanyalah khabar angin yang belum dipastikan lagi namun pihak OnePlus telah membuat kerjasama dengan pihak DxOMark dalam membangunkan kamera untuk peranti OnePlus 5.

Khabar angin mengatakan yang kamera OnePlus 5 akan dilengkapi dengan kamera 12-MP, lensa RGB dan monokrom, flash LED dan juga kamera depan 8-MP.

Untuk Nokia 9 pula, ia bakal dilengkapi dengan kamera belakang 22-MP dengan Phase Detection Auto Focus (PDAF), dan kamera depan 12-MP.

Melihat kepada kedua-dua kamera peranti ini, masih tidak dapat diputuskan peranti mana bakal mendahului kerana OnePlus dengan pasukan DxOMark mereka yang bertanggungjawab menghasilkan kamera berkualiti yang sebelum ini kita lihat pada peranti Pixel.

Nokia pula yang sinonim dengan lensa Carl Zeiss pula bakal memberi nafas baru dalam segmen kamera telefon pintar yang dinominasi oleh lensa Sony.

Bateri

Nokia 9 dikhabarkan akan menggunakan bateri berkapisiti 3,800 mAh dengan teknologi Quick Charge 4.0.

Lain pula untuk OnePlus 5 yang akan menggunakan bateri berkapisiti 3,600 mAh dengan teknologi Dash Charge 2.0.

Nokia 9 memenangi dari segi kapasiti bateri namun teknologi Dash Charge kelihatan lebih gah berbanding dengan teknologi Quick Charge.

Tarikh Pelancaran dan Harga Jualan

OnePlus 5 dijangka akan tiba pada bulan Jun dan Nokia 9 pula masih tiada ura-ura mengenai tarikh pelancaran mereka tetapi kita boleh menjangkakan mereka akan keluar pada bulan Julai atau Ogos.

Dengan perbandingan perkakasan dan spesifikasi yang sangat kompetitif, kini hanya tinggal faktor harga jualan yang membezakan antara kedua-dua peranti.

OnePlus dengan strategi terkenal mereka mungkin akan menjual OnePlus 5 pada harga kurang dari RM 2,000

Lain pula dengan Nokia 9 yang akan menyertai Samsung, LG dan Apple kerana mungkin harga jualan untuk Nokia 9 bermula pada harga RM 3,000.