Nokia 8 Pro Dengan Rekaan Penta Lensa Yang Boleh Diputar

Cakap-cakap sebelum ini ada menyatakan bahawa Nokia mungkin hadir dengan telefon pintar 5 kamera dibahagian belakang.

Walaupun hanya sekadar khabar angin, ia sedikit memeranjatkan semua pihak terutama sekali peminat jenama berkenaan.

Perkhabaran mengenai peranti terbabit sekali lagi muncul, dan kali ini ia lebih kepada menjelaskan tentang rekaan "5 kamera" yang digembar-gemburkan itu.

Difahamkan Nokia 8 Pro akan mempunyai dwi kamera dan bukannya lima. Tetapan dwi kamera yang akan digunakan merupakan hasil gabungan dari sensor RGB 13MP dan sensor monokrom 13MP.



Berdasarkan imej paten, boleh dilihat ia akan dilengkapi dengan mekanisma putaran untuk penta lensa (lima lensa).

Lensa yang diputar itu dipercayai berfungsi untuk mengubah jarak fokus kamera dan meningkatkan lagi mutu zoom.

Seperti biasa, lensa untuk Nokia dibekalkan oleh Carl Zeiss. Sementara itu, pada bahagian dalaman pula, Nokia 8 Pro diramal menggunakan cip terbaru Snapdragon 845, dan skrin bernisbah 18:9.

Sumber: Slashgear