Nintendo-Dari Pembuat Kad Permainan Kepada Gergasi Pengeluar Konsol

Awalnya dipanggil Nintendo Koppai, ia adalah sebuah perusahaan kecil yang membuat kad permainan Hanafuda berpengkalan di Kyoto, Jepun.

Ditubuhkan pada 23 September 1889, kad permainan ciptaan Fusajiro Yamauchi itu mendapat sambutan yang hangat daripada rakyat negara matahari terbit itu.

Kapsyen: Kad hanafuda


Bagi anda yang tertanya-tanya tentang maksud Nintendo, ia berasal dari nama Jepun "Nintendou" yang mana bila diterjemah, ia membawa maksud "biarkan untung dan malang kepada syurga". Walaubagaimanapun, tiada rekod sejarah yang dapat mengesahkan maksud nama terbabit.

Berbalik pada perjalanan Nintendo dari awal, ia kekal menjadi pengeluar kad permainan sehingga 1953 dimana mereka buat pertama kalinya menghasilkan kad permainan diperbuat daripada plastik di Jepun.

Ia membuahkan hasil apabila Nintendo berjaya mendominasi pasaran dan bagi menjamin kelangsungan syarikat untuk masa panjang, Hiroshi Yamauchi (cucu pengasas) menjalin kerjasama dengan Disney pada tahun 1959.

Kapsyen: Hiroshi Yamauchi


Mereka dibenarkan untuk mencetak karakter Disney pada kad permainan, membolehkan syarikat itu menembusi pasaran yang lebih luas.

Halatuju syarikat semakin jelas dengan pasaran mula menumpukan kelompok pengguna yang lebih muda, dan kad tersebut berjaya mencecah jualan sehingga 600,000 pek pada tahun pertama.

Kapsyen: Kad Nintendo X Disney


Lanjutan daripada itu, syarikat mendapat suntikan dana yang mana mereka mula menceburi beberapa lapangan lain seperti syarikat teksi, rangkaian hotel, syarikat makanan, syarikat pembuat permainan dan beberapa lagi. Punbegitu ia tidak bertahan lama, kerjasama untuk perniagaan lain tidak begitu memberangsangkan.

Keadaan yang sama turut menimpa perniagaan kad permainan dimana ia semakin suram dan saham syarikat menjunam dari 900 yen kepada 60 yen. Namun pertemuan Hiroshi dengan salah seorang jurutera di salah sebuah kilangnya bakal mencipta sesuatu besar buat Nintendo.

Pada tahun 1970, ketika melawat kilang milik beliau, Hiroshir terlihat Gunpei Yokoi bermain permainan ciptaan sendiri. Hiroshi akhirnya membuat keputusan supaya permainan ciptaan Gunpei itu dikomersialkan dan dijual dipasaran menjelang perayaan Krismas.



Dikenali sebagai Ultra Hand, ia berjaya mencatat jualan jutaan unit dan sejak itu, Gunpei berusaha mencipta beberapa permainan yang lain.

Minat Nintendo dalam arena permainan video mula terserlah apabila mereka mendapatkan hak untuk menjadi pengedar Magnavox Odyssey bagi pasaran Jepun.

Penjualan konsol terbabit menampakkan hasil dan Nintendo mula merancang untuk membangunkan konsol mereka sendiri. Pada tahun 1983 melihatkan pelancaran Family Computer atau lebih dikenali sebagai Famicom dan ia berjaya terjual sebanyak setengah juta dalam tempoh dua bulan.



Malangnya produk terbabit terpalit dengan beberapa masalah menyebabkan Nintendo terpaksa menarik balik konsol terbabit dari pasaran.

Dua tahun berikutnya, Nintendo sekali lagi hadir dengan Famicom bersama sedikit perubahan dan penambahbaikan. Edisi kali ini disebut dengan nama Nintendo Entertainment System atau NES.



Pada tahun yang sama juga Super Mario Bros dikeluarkan dan umum sudah mengetahui bagaimana penerimaan pengguna terhadap permainan terbabit.

Tahun silih berganti, Nintendo sudah berada di satu tahap yang membanggakan dan merupakan salah satu nama besar dalam industri konsol sedunia. Begitulah kisah dari pengeluar kad permainan di Kyoto kepada sebuah syarikat konsol permainan kegemaran ramai.

https://www.youtube.com/watch?v=-jqfCsaNS4I

Sumber: Gizmodo, Wikipedia, Kotaku

 

Berkaitan