Nexus 6 dan Nexus 9 Tidak Akan Menikmati Kemaskini Android Nougat 7.1.2

Suatu ketika dulu ia mungkin dikenali sebagai telefon pintar flagship tetapi kini, Nexus 6 dan Nexus 9 tidak akan lagi menikmati kemaskini terbaru Android Nougat 7.1.2. Pengumuman telah dibuat oleh Google sendiri dimana kemaskini Android Nougat 7.1.2 akan hadir tidak lama lagi dan keduda-dua model berkenaan tiada dalam senarai peranti yang bakal menerima kemaskini tersebut.

Sudah menjadi kebiasaan bagi Google untuk menyediakan kemaskini Android bagi peranti Nexus dan Pixel terlebih dahulu dari jenama lain. Kemaskini Nougat 7.1.2 itu melibatkan beberapa penambahbaikan dari segi membaiki pepijat, mengoptimumkan sistem, disamping beberapa penambahan kecil yang lain. Ini bermaksud anda mungkin tidak akan melihat apa-apa perbezaan dalam penggunaan seharian , melainkan jika anda sebelum ini sememangnya mengalami masalah yang berpunca dari pepijat yang tertentu.

Bagi anda yang memiliki telefon Nexus 6 dan Nexus 9, anda tidak bernasib baik kerana dua model berkenaan tidak tersenarai untuk menerima kemaskini berkenaan. Antara model yang bakal menerima kemaskini tersebut adalah Pixel, Pixel XL, Nexus 5X, Nexus 6P, Nexus Player, dan Pixel C. Walaupun tidak menyatakan secara terang tentang penghentian kemaskini bagi dua model itu, ramai sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Hal ini turut disahkan dalam satu maklum balas emel yang diterima oleh Gordon Gottsegen, penulis laman web teknologi CNET, yang berbunyi "  Sokongan  bagi Nexus 6 dan Nexus 9 untuk versi beta awam dan juga kemaskini OTA 7.1.2 akan dihentikan".

Dalam pengumuman yang sama juga, Google mengajak pengguna untuk menyertai program Android Beta untuk merasai sendiri Android versi beta sebelum ia di keluarkan kepada pengguna yang lain.

Sumber: CNET