Netflix Mengurangkan Kualiti Penstriman Video Di Malaysia

Bulan lalu, Netflix telah mengurangkan kualiti penstriman di Eropah setelah Kesatuan Eropah meminta syarikat-syarikat seperti Netflix, Amazon dan Youtube untuk memastikan penggunaan rangkaian telekomunikasi lebih efisyen kerana peningkatan trafik yang lebih tinggi pada masa ini. Ia berikutan lebih ramai pengguna yang menghabiskan masa di rumah dengan melayari internet sepanjang tempoh penularan wabak Covid-19.

Kini, Netflix telah mengambil tindakan yang sama sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan lalu lintas rangkaian secara keseluruhan sebanyak 25% di Malaysia.

Menurut Netflix, jika anda membayar untuk Definisi Ultra Tinggi (UHD), Definisi Tinggi (HD), atau Definisi Standard (SD), anda masih dapat menonton dengan resolusi yang dilanggan. Bagaimanapun, anda mungkin dapat melihat sedikit penurunan kualiti dalam setiap resolusi.

Netflix kualiti

Pengurangan kualiti penstriman ini akan dilaksanakan selama 30 hari dan telah bermula sejak 31 Mac lalu. Berdasarkan tinjauan di laman sesawang Netflix, tiada promosi atau pengurangan harga ditawarkan berikutan pengurangan kualiti penstriman ini.

Sumber: Netflix