Netflix Menguji Notis Amaran Dan Pengesahan Bagi Perkongsian Kata Laluan

Sehingga kini, Netflix sudah mempunyai lebih dari 200 juta pengguna secara global. Terbaru, perkhidmatan penstriman popular itu dilaporkan sedang menguji satu ciri bagi menyekat penggunaan akaun tidak sah.

Menurut laporan Gamma Wire, sebilangan pengguna kini mula menerima notis amaran bagi mereka yang didakwa meminjam maklumat log masuk akaun daripada pengguna yang tidak serumah, rakan atau ahli keluarga. Menurut Netflix,

"If you don’t live with the owner of this account, you need your own account to keep watching."

Notis tersebut turut memberikan pilihan kepada pengguna untuk "Join Free for 30 Days" atau sahkan akaun jika pengguna adalah pemilih akaun tersebut.



Dalam erti kata lain, satu notis akan muncul pada skrin dan meminta pengguna untuk mengesahkan akaun tersebut dengan memasukkan kod pengesahan yang dihantar melalui e-mel atau kod SMS. Jika anda bukan pemilik akaun berkenaan, ia mungkin menyukarkan anda untuk mendapatkan kod pengesahan tersebut.

Pengguna juga mempunyai pilihan untuk "Verify Later". Bagaimanapun, apabila butang itu ditekan, pop-up tersebut dikatakan akan muncul semula.

https://twitter.com/DOP3Sweet/status/1369395237253222414

Dalam pada itu, Netflix mengatakan notis amaran ini diuji bagi memastikan mereka yang menggunakan akaun Netflix berkenaan diberi keizinan oleh pemilik akaun. Sudah tentu, ciri ini amat membantu dalam kes yang melibatkan penggunaan akaun tidak sah.

Buat masa ini, ujian bagi notis berkenaan hanya terhad untuk penstriman yang dilakukan melalui TV sahaja.

Sumber: Gamma Wire via The Verge