Nantikan Kemunculan Semula Nokia X pada 27 April Ini

HMD Global kini diberitakan dalam perancangan untuk melancarkan sebuah lagi peranti terbaru mereka iaitu Nokia X atau turut disebut sebagai Nokia 10, lapor GizmoChina. Mereka dijangka akan membuat satu majlis pelancaran di China pada 27 April ini. Peranti ini merupakan nafas baru kepada peranti Nokia X yang pernah dikeluaran pada tahum 2014, di mana ketika itu ia juga merupakan peranti pertama keluaran Nokia yang mengguna pakai Android sebagai sistem operasinya.



 

Walaubagaimanapun, belum ada sebarang maklumat tentang spesifikasi peranti ini yang diketahui melainkan ia akan menggunakan lensa ZEISS bagi kameranya. Bagi peranti Nokia X sebelum ini, ia merupakan sebuah peranti pada peringkat kemasukan. Nokia X 2014 dilengkapi dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon S4 Play dengan 512 MB RAM.

Selain itu, walaupun menggunakan sistem operasi Android 4.1.2 Jellybean, peranti tersebut tidak mempunyai kemudahan Google Play yang menjadi perkara penting bagi setiap peranti Android. Bagaimanapun, pengguna Nokia X 2014 masih memiliki sebuah aplikasi yang hampir sama dengan Google Play serta boleh memasang sebarang aplikasi Android sekiranya telah memuat turun fail APK untuk aplikasi tersebut.



 

Menurut laporan GizmoChina lagi, terdapat beberapa orang yang telah melihat iklan Nokia pada papan digital yang menunjukkan berkenaan pelancaran peranti ini di dalam sebuah pasaraya di China. Tambah mereka lagi, paparan iklan itu mengandungi imej dua peranti yang disilangkan bagi membentuk huruf 'X' serta tulisan 'bakal dilancarkan 27 April' dalam tulisan Cina lantas menguatkan lagi ura-ura berkenaan pelancaran peranti ini.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada maklumat rasmi daripada pihak HMD Global berkenaan perkara ini. Namun, dijangka dalam masa terdekat ini, akan ada satu pengumuman daripada pada HMD Global bagi mengesahkan atau menafikan perkara ini.

Sumber