Naib Presiden Xiaomi Perlihatkan Ciri Kalis Percikan Air Redmi K20 Pro

Media sosial sentiasa dipenuhi dengan cabaran-cabaran untuk menunjukkan kemahiran invidu dan antara cabaran yang terbaru adalah #BottleCapChallenge, membuka penutup botol dengan apa cara sekalipun.

Xiaomi India juga tidak ketinggalan untuk menyertai cabaran tersebut dimana Naib Presiden Xiaomi India, Manu Kumar Jain, memperlihatkan dua ciri yang ada pada peranti Redmi K20 Pro. Ciri yang dimaksudkan adalah rakaman gerak perlahan pada 960fps (video dirakam menggunakan Redmi K20 Pro)  serta ciri kalis percikan air yang dilapisi perlindungan P2i.


Ia dilihat sebagai salah satu strategi pemasaran Xiaomi yang mahukan pendedahan lebih luas lagi tentang kemampuan Redmi K20 Pro. Model ini dijangka masuk ke dalam pasaran India tidak lama lagi.

Diumumkan sejak penghujung Mei yang lepas, hanya model Redmi K20 sahaja yang sudah menembusi pasaran tempatan dan dijenamakan semula sebagai Mi 9T. Versi pro yang ditawarkan dengan spesifikasi lebih tinggi seperti penggunaan cip Snapdragon 855 masih belum dapat dipastikan tentang penawarannya di Malaysia. Sama ada ia akan dijual secara rasmi untuk peminat tanah air ataupun tidak, sama-sama kita nantikan pengumuman dari Mi Malaysia.