MyFreeView Hidang 15 Saluran TV, Dijangka Tambah Penyiar Baru Selepas Ini

Arena penyiaran kita kini sudah selangkah kehadapan dimana peralihan dari siaran TV analog kepada digital telah selesai dilaksanakan sepenuhnya sepertimana yang dilapor oleh SKMM.

Ketika ini, sebanyak 15 saluran TV dan 6 saluran radio sudah bersiaran dan difahamkan, jumlah tersebut akan bertambah lagi selepas ini.

Melalui teknologi ini, jumlah frekuensi yang digunakan adalah lebih rendah berbanding TV analog. Ini berikutan satu jalur frekuensi TV digital mampu menyiarkan sehingga 13 saluran TV berdefinisi standard manakala TV analog hanya berupaya menyiarkan satu saluran sahaja pada jalur frekuensi yang sama.

Selain daripada itu, kualiti paparan yang dijanjikan juga akan lebih baik bersama-sama bunyi jelas bagi definisi Standard (SD) serta definisi tinggi (HD). Ia juga disediakan dengan pelbagai fungsi menarik, antaranya adalah panduan program elektronik dan sarikata pelbagai bahasa.

Menurut laporan, perkhidmatan ini sudah meliputi 98% kawasan berpenduduk dan ia boleh dinikmati secara percuma oleh rakyat Malaysia. Untuk mendapatkan siaran MyFreeView ini, pengguna hanya perlu mendapatkan IDTV, dekoder DVB-T2 atau aerial luaran UHF. Bagi kawasan terlindung pula, teknologi DTH (Direct-To-Home) digunakan bagi memastikan kawasan tersebut mendapat siaran MyFreeView.

Untuk makluman, rakyat yang tergolong sebagai penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) serta mereka yang berpendapatan rendah turut diberikan dekoder DTT dan DTH, diagihkan oleh pihak MyTV.

Sumber: SKMM