MWC 2019 - Apa Yang Anda Boleh Harapkan Daripada Pengeluar Pada MWC Tahun Ini

Mobile World Congress atau MWC 2019 hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum diadakan di bandar Barcelona, Sepanyol. Persidangan yang menfokuskan peranti mudah alih terbesar di dunia itu menampilkan teknologi-teknologi baru setiap tahun dan tahun ini juga tidak akan terkecuali.

Malah, ia mungkin akan menjadi MWC paling menarik bagi tempoh beberapa tahun sebelum ini. Ia kerana para pengeluar dijangka akan tampil dengan peranti masing-masing yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan inovasi yang menarik.

Pada kali ini, kami akan kongsikan kepada anda mengenai apa yang telah dirancang oleh para pengeluar bagi menaikkan jenama mereka pada MWC 2019, setakat ini.

Nokia 9 PureView Dengan Lima Biji "Mata"

Kapsyen: @91Mobiles


Seringkali kami katakan, MWC 2019 mungkin akan menjadi titik kebangkitan semula bagi syarikat pengeluar dari Finland ini. Untuk merealisasikannya, mereka perlu memperkenalkan Nokia 9 PureView di acara itu nanti. Ya, perlu.

Ini kerana peranti tersebut telah beberapa kali ditangguhkan pelancarannya.

Tarikh persidangan: 24 Februari 

Telefon Dengan Bateri 18,000mAh Dari Energizer(dan 25 Lagi Peranti Lain)

Kapsyen: GSMARENA


Energizer membuat kejutan apabila mendakwa mereka akan melancarkan 26 peranti berbeza pada MWC nanti. Kesemua peranti tersebut akan dikategorikan kepada empat kategori berbeza - Power Max, Ultimate, Energy dan Hardcase.

Namun, antara yang paling mencuri tumpuan pastinya sebuah model dibawah siri Power Max yang didakwa memiliki bateri berkapasiti 18,000mAh.

Tarikh persidangan: 25 Feb - 28 Feb.

Telefon Dengan Skrin Boleh Lipat, Paparan Tebuk Dari Samsung

Kapsyen: Samsung


Pada awalnya, ramai menjangkakan siri Galaxy S10 akan diperkenalkan semasa acara ini. Namun, Samsung memilih untuk mengadakan acara Unpacked lebih awal iaitu pada 20 Februari di San Francisco.

Siri tersebut akan menjadi model pertama Samsung yang hadir dengan rekaan skrin tebuk. Peranti dengan skrin boleh lipat mereka juga dijangka akan membuat kemunculan pada majlis itu nanti.

Akan tetapi, ia tidak bermakna Samsung tidak akan membawa kedua-duanya ke MWC. Antara lain, mereka juga dikatakan akan memperkenalkan beberapa model kelas pertengahan di Barcelona nanti.

Tarikh persidangan: Belum diumumkan

Huawei Tidak Mahu Samsung Terus Menguasai Pasaran, Turut Hadir Dengan Peranti Boleh Lipat Sendiri

Kapsyen: HUAWEI


Tahun 2018 adalah tahun pertama di mana Huawei mengatasi Apple untuk bergelar pengeluar kedua terbesar di dunia. Tetapi, Samsung masih lagi kekal di atas. Atas sebab itu, Huawei berharap agar mereka dapat memintas Samsung pada tahun ini.

Untuk itu, Huawei juga disahkan bakal memperkenalkan telefon dengan skrin boleh lipat mereka hujung bulan ini. Nama yang disebut-sebut bagi peranti berkenaan ialah Huawei Mate Flex atau Mate X.

Ada juga laporan menyatakan bahawa siri Huawei P30 akan turut mengiringi telefon boleh lipat itu nanti. Jika benar, pengeluar lain mungkin perlu bersedia untuk dibayangi "pertarungan" antara Huawei dan Samsung di acara itu kelak.

Tarikh persidangan: 24 Februari

LG G8 Dengan Sistem Navigasi Tanpa Sentuh Baharu

https://youtu.be/-O1KLGxJE40

LG sebelum ini telah mengesahkan akan ikut serta dalam acara MWC 2019 apabila mengeluarkan satu video acah bagi acara tersebut dengan slogan "Goodbye Touch".

Ia seolah-olah memberi gambaran mengenai satu sistem navigasi peranti tanpa sentuh baharu akan diperkenalkan di acara itu nanti. Dan peranti yang disebut-sebut ialah LG G8.

Selain LG G8, mereka juga dikatakan akan datang ke Barcelona dengan sebuah lagi model iaitu LG V40.

Tarikh persidangan: 24 Februari

Sony Xperia XZ4 Berbekalkan Kamera 52MP, Kapasiti Bateri Besar 

Kapsyen: Sumahoinfo


 

Sony Xperia XZ4 berkemungkinan besar akan menjadi pesaing bagi model Huawei dan Samsung di Barecelona nanti. Mana tidaknya, menurut tirisan sebelum ini, ia akan hadir dengan beberapa spesifikasi yang mantap.

Antara yang paling mencuri tumpuan pasti sistem kamera 52MP dan bateri berkapasiti 4,400mAh yang ada pada peranti berkenaan. Malah, ia juga akan hadir dengan cip Snapdragon 855 yang terbaru.

Sekiranya tirisan tersebut tepat, tidak mustahil, Sony akan kembali menjadi kuasa besar dalam pasaran telefon pintar kelas perdana seperti sebelum ini.

Tarikh persidangan: Belum diumumkan

Tiada Model Baharu, Hanya Mi Mix 3 5G Dari Xiaomi

Kapsyen: Xiaomi


 

Selain peranti-peranti baharu, beberapa syarikat dikatakan memilih untuk hanya memperkenalkan variasi baru bagi siri peranti mereka sedia ada.

Antara pengeluar terbabit ialah Xiaomi. Mereka didakwa akan memperkenalkan model 5G bagi siri Mi Mix 3 kelak.

Selain daripada itu, tiada sebarang naiktaraf dari segi spesifikasi baru yang dijangka akan dibawa ke model berkenaan.

Tarikh persidangan: 24 Februari

Teknologi 10X Zoom Optikal Daripada Oppo

Kapsyen: The Verge


Oppo pula dikatakan akan hadir dengan teknologi baharu iaitu 10x zoom optikal pada acara itu nanti.

Teknologi itu telah pun diperkenalkan pada 29 Januari lalu, namun kali ini ia dikatakan akan didatangkan bersama sebuah peranti.

Walaupun peranti itu tidak dinamakan lagi, ramai pemerhati berpendapat bahawa ia adalah Oppo Find Z, penyambung delegasi bagi model Find X tahun lepas.

Tarikh persidangan: 23 Februari

Sebenarnya, banyak lagi pengeluar-pengeluar lain yang turut serta MWC 2019 nanti namun pengeluar-pengeluar di atas dijangka akan lebih menonjol daripada jenama-jenama lain.

Bagaimana pula dengan anda? Peranti manakah yang membuatkan anda teruja pada MWC tahun ini? Seperti biasa, kongsikan bersama kami di ruangan komen.

 

Sumber: Pocket-lint  Digital Trends