Mufti WP Beri Jawapan Berkenaan 'Pre-Order' Tapi Harga Barang Tidak Spesifik

Budaya pratempah atau lebih sering disebut 'pre-order' semakin menjadi kebiasaan terutamanya dalam transaksi digital hari ini. Dari sekecil-kecil barang seperti telefon hinggalah kereta yang bernilai ratusan ribu ringgit.

Pejabat Mufti WP menerima soalan tentang hukum pre-order barang yang tidak ditentukan harga secara spesifik.

Penyoal memberi contoh seperti membayar RM500 untuk menempah sebuah kereta Proton X50.

Jawab mufti, hukumahnya sah.
Hukum tempahan beserta bayarannya adalah sah dan dibenarkan kerana bayaran tempahan dilihat menyamai konsep janji bagi menunjukkan kesungguhan dan komitmen semata-mata, ia bukanlah suatu akad jual beli yang perlu menepati rukun dan syarat jual beli.

Namun, penjual digalakkan menyatakan harga siling ketika proses tempahan dibuka dan menawarkan rebat setelah pelanggan tersebut memeterai akad jual beli tersebut.

Proses sebegini lebih memberi keadilan kepada kedua-dua belah pihak di samping menghilangkan unsur ketidakjelasan dalam segenap aspek, tambah mufti lagi.

Jelas mufti lagi, asasnya, setiap transaksi/jual beli mestilah menepati rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh agama.

  • Pihak yang melakukan akad (penjual dan pembeli)

  • Sighah Akad (ijab dan kabul)

  • Barang jualan dan harganya


Melihat secara ringkas situasi di atas, bayaran tempahan bagi pembelian Proton X50 yang tidak ditentukan harganya dilihat seolah-olah tidak menepati rukun dan syarat asas jual beli.

Namun begitu, Mufti WP berpandangan ‘bayaran tempahan’ mempunyai dua pertimbangan. Pertamanya, boleh dianggap sebagai bayaran pendahuluan (bai’ al-‘urbun) atau deposit keselamatan (hamisy jiddiyyah).

Wang bai’ al-‘urbun menjadi hak milik penjual sepenuhnya sekiranya pelanggan tidak berhasrat ingin menyempurnakan sesuatu jual beli. Bermakna ia tidak akan dipulangkan pada pembeli.

Manakala wang hamisy jiddiyyah boleh dipulangkan semula kepada pembeli selepas ditolak kos kerugian yang ditanggung penjual.

Pejabat Mufti WP berpandangan pre-order dalam kes di atas lebih tepat dikaitkan dengan konsep hamisy jiddiyyah berbanding bai’ al-‘urbun.

Jadi, sekiranya pelanggan yang telah berdaftar dan membayar duit komitmen tersebut membatalkan hasrat kelak, secara asalnya pihak syarikat Proton berhak mengambil duit tersebut bagi menampung kerugian sebenar yang berlaku.

Tetapi, jika pihak syarikat Proton sendiri melalui terma dan kondisinya (T&C) memberi jaminan pemulangan 100% duit komitmen, maka ia tidak menjadi masalah kerana itu merupakan hak milik penuh mereka.

Sumber: Pejabat Mufti WP