Monaco Menjadi Negara Pertama Di Eropah Menggunakan Rangkaian 5G Secara Keseluruhan

Huawei menjadi penyedia teknologi rangkaian 5G di negara tersebut.


Monaco, negara kedua terkecil di dunia yang hanya seluas 500 ekar tanah dan rakyatnya yang hanya seramai 40,000 orang itu kini menjadi negara pertama di Eropah yang dilengkapi dengan teknologi rangkaian 5G.

Ia dicapai menerusi perjanjian antara syarikat telekomunikasi negara itu, Monaco Telecom bersama Huawei pada September tahun lalu sebagai penyedia teknologi rangkaian 5G tanpa wayar, ultra pantas meliputi seluruh kawasan negara tersebut.

Monaco Telecom telah mula menawarkan kepada para pelanggan mereka dengan telefon pintar Huawei Mate 20 X dan Xiaomi Mi Mix 3 dengan termasuk servis rangkaian 5G tanpa sebarang kos tambahan sehingga hujung Julai tahun hadapan.

Malah syarikat telekomunikasi Monaco yang dimiliki oleh jutawan Perancis, Xavier Niel itu juga berkata bahawa mereka akan menyediakan kemudahan sambungan Wi-Fi pada pengangkutan awam untuk para pelancong Monaco menggunakan infrastruktur 5G mereka.

Teknologi rangkaian 5G Huawei telah menjadi satu isu politik hangat antara kerajaan A.S dan China selepas Washington menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan risiko keselamatan daripada teknologi syarikat gergasi China tersebut.

Agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat percaya bahawa Huawei disokong oleh pihak tentera China dan peralatan 5G nya itu didakwa boleh memberikan maklumat rahsia negara-negara yang menggunakan teknologi tersebut kepada kerajaan China.

Huawei telah menafikan sekera-kerasnya terhadap dakwaan tersebut, malah sehingga ke hari ini, Washington tidak dapat memberikan bukti kukuh terhadap dakwaan yang dilemparkan mereka itu.

Sumber: VB