Model Peranti Huawei P20 Pro Dengan Warna Twillight Bakal Memasuki Pasaran Malaysia

Huawei Mobile Malaysia melalui laman Facebook rasminya hari ini telah mengumumkan bahawa mereka bakal membawa masuk peranti Huawei P20 Pro dengan pilihan warna Twillight tidak lama lagi. Model dengan pilihan warna ini boleh dianggap unik kerana warna peranti akan kelihatan sedikit berubah jika dilihat dari sudut pandangan yang berbeza-beza.



Tarikh yang tepat berkenaan pelancaran model ini bagi pasaran Malaysia masih belum diketahui namun ia dijangka tidak mengambil masa yang lama untuk pelancaran ini. Ia adalah kerana menurut imej yang dikongsi oleh pihak Huawei ini, dapat dilihat pada bahagian bawah imej tertulis 'It's Time' atau 'Kini Masanya' yang menggambarkan pelancarannya kian hampir.

Selain daripada perbezaan warna, peranti ini masih menggunakan spesifikasi yang sama dengan model P20 Pro yang lainnya. Sebagai peringatan, Huawei P20 Pro yang dilancarkan pada pasaran Malaysia 3 April yang lalu ini merupakan peranti pertama yang menggunakan tri-kamera utama dengan lensa 40 MP, 20 MP monokrom serta 8 MP telefoto.



Ikuti Facebook Huawei Malaysia untuk perkembangan terbaru mengenai P20 Pro Twillight ini dan peranti-peranti lain keluaran Huawei.