MIUI 11 Uji Ciri Mengesan Aplikasi Yang Mengakses Fungsi Sensitif

Banyak aplikasi yang ditawarkan tidak kira di Google Play Store atau platform lain yang meminta kebenaran akses ciri yang tidak berkaitan dengan fungsinya. Hal ini meletakkan data privasi pengguna kepada risiko penyalahgunaan dan sebagainya.

Bagi menangani masalah tersebut, Xiaomi kini dikatakan sedang menguji ciri sekuriti yang mampu memberi amaran kepada pengguna jika aplikasi mengakses fungsi sensitif pada peranti. Dikesan oleh XDA-Developers, ciri tersebut akan merekod log tingkah laku aplikasi. Sama ada ia dilancarkan secara automatik atau melancarkan aplikasi lain secara paksa.

Seterusnya ia turut merekod aktiviti sensitif yang digunakan aplikasi tersebut seperti rakaman audio pada latar belakang, membuat panggilan suara, akses kenalan, lokasi, fail dan lain-lain. Notifikasi juga akan diberikan kepada pengguna sekiranya aplikasi mengakses kebenaran ciri yang tidak sepatutnya diakses.

Buat masa sekarang, ciri sekuriti ini sedang berada dalam fasa ujian dan belum dapat dipastikan bilakah penawaran kepada umum akan dibuat.

Sumber: XDA-Developers