Minuman Tenaga Untuk Telefon Pintar Anda







Bagaimana perasaan anda apabila melihat
kuasa bateri telefon pintar anda semakin menurun? Pastinya ia sesuatu yang
menyeksakan lebih-lebih lagi anda berada di tempat yang tidak mempunyai soket
untuk mengecas. Bagi mereka yang menggunakan powerbank, anda mungkin tidak
khuatir dengan masalah ini namun anda mungkin merasa kurang selesa kerana perlu
membawa alat pengecas yang besar itu ke mana jua anda pergi.





Kini anda tidak perlu risau lagi kerana
dengan adanya MoBeeGo, pengecas bateri bersaiz kecil, anda boleh mengecas
telefon pintar dimana jua anda berada tanpa perlu memenuhkan poket ataupun beg
tangan. Pengecas comel berwarna hitam dan kuning itu mampu meningkatkan kuasa
bateri telefon anda hingga 4 jam. Ia seakan-akan bateri biasa yang kita gunakan
untuk jam dinding atau alat kawalan jauh dimana ia tidak perlu dicas untuk
digunakan.










MoBeeGo dibawa masuk ke Malaysia oleh
Kelvin Hun dan Edric Foong, pengasas Veloster Technology sebuah syarikat
teknologi tempatan. MoBeeGo terbahagi kepada dua bahagian; penyesuai (adapter)
yang boleh diguna semula dan bateri yang berbentuk seperti tin minuman yang
hanya boleh di pakai sekali sahaja. Bateri bersaiz kecil itu akan dilekatkan
pada penyesuai sebelum disambung pada telefon pintar. MoBeeGo mampu bertahan
selama 10 tahun dan anda tidak perlu risau dengan suhu ketika menyimpan kerana
ia bateri yang tahan lasak.





Walaupun ia hanya boleh digunakan sekali
sahaja, MoBeeGo mungkin berguna bagi anda yang berada dalam situasi kecemasan.
Buat masa sekarang pengecas kecil ini boleh didapati di rangkaian kedai
myNEWS.com dan Veloster Technology merancang untuk meluaskan pasarannya ke rangkaian
kedai yang lain.





Berikut merupakan harga bagi MoBeeGo;


MoBeeGo Single Shot- sebuah bateri , sebuah
penyesuai yang boleh diguna semula (RM29)


MoBeeGo Refill-sebuah bateri; bagi pengguna
yang sudah mempunyai penyesuai (RM10)


MoBeeGo Pack- mengandungi 6 buah bateri
(RM55)

Berkaitan