Ming-Chi Kuo: Beberapa Model iPhone 2022 Dijangka Hadir Dengan Rekaan Paparan Berlubang

Berdasarkan laporan terkini, sekurang-kurangnya beberapa model iPhone untuk tahun 2022 tidak lagi menggunakan rekaan bertakuk dan akan beralih kepada paparan berlubang.

Menurut penganalisis terkenal Ming-Chi Kuo, sekurang-kurangnya rekaan paparan berlubang akan digunakan untuk iPhone bagi model paling mahal seperti versi Pro atau Pro Max. Akan tetapi, jika hasil produk adalah cukup baik, semua model iPhone 2022 mungkin akan menggunakan rekaan ini.

Walaupun begitu, Kuo tidak memberikan perincian bagaimana Apple akan menempatkan komponen Face ID, sekiranya sensor imbasan wajah ini terus digunakan dengan rekaan tanpa takuk.

Sebagai tambahan, Kuo turut mengatakan jika pembangunan berjalan lancar, sekurang-kurangnya satu model iPhone pada 2023 akan hadir dengan ciri imbasan cap jari bawah paparan, kamera telefoto periskop dan skrin penuh tanpa takuk atau paparan berlubang.

Sementara itu, Kuo turut mengatakan kamera swafoto untuk iPhone 2022 akan hadir dengan ciri autofokus.

Sumber: MacRumors