Microsoft Windows Sandbox Bagi Pilihan Untuk Jalankan Perisian Dalam Ruangan Yang Lebih Selamat

Di dalam dunia maya yang sentiasa menghadapi ancaman dari luar, pengguna terdedah dengan risiko dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggung jawab melalui perisian-perisian yang berisiko tinggi. Bagi megelakkan risiko ini menjadi mimpi buruk, Microsoft mengumumkan pembangunan Windows Sandbox, sebuah perisian di dalam sistem operasi bagi pengguna mencuba perisian yang disyaki membawa isu keselamatan tanpa menjejaskan sistem utama mereka.

Fungsi ini akan hadir ke Windows 10 Pro dan Enterprise mulai tahun hadapan. Windows Sandbox berfungsi dengan mengasingkan satu ruang 'kerja' maya untuk pengguna mencuba perisian yang mereka kehendaki dan mengesan sebarang masalah kerentakan, keserasian dan lain-lain lagi. Setelah pengguna berpuas hati, setiap sesi boleh dipadam, menghapuskan sebarang risiko bahaya yang mungkin hadir dalam setiap perisian.

Windows Sandbox dibina menggunakan hypervisor dari Microsoft iaitu sebuah pengurusan mesin maya yang mana kernel nya dihasilkan berasingan dengan komputer perumah. Spesifikasi untuk menghasilkannya juga adalah rendah. Mungkin ini adalah berita gembira kepada pekerja IT yang memerlukannya untuk kerja-kerja pejabat mereka.

Sumber