Penggemar komputer sering runsing ketika memilih sistem pemprosesan Intel atau AMD yang sesuai dengan keperluan kegunaan dan lingkungan bajet mereka. Lebih-lebih lagi kebanyakan syarikat hanya menyediakan pemprosesan Intel sahaja untuk peranti siap pasang seperti komputer riba.
Untuk menyelesaikan kerunsingan itu, Microsoft kini tampil dengan komputer riba baharu Microsoft Surface 4. Apa yang menariknya tentang pelancaran ini adalah pengguna diberi pilihan untuk memilih diantara prosesor Intel atau AMD.
Untuk versi Intel, pengguna diberi pilihan prosesor Intel Core i5-1135G7 dan Core i7-1185G7. Bagi versi AMD, Ryzen 5 4680U dan Ryzen 7 4980U.
Selain itu, Surface 4 mempunyai reka bentuk lebih kurang barisan terdahulu dengan dua pilihan model 13.5 inci dan 15 inci. Spesifikasi dalamannya dilengkapi RAM 8GB dengan storan 256GB dan boleh ditambah ke RAM 16GB serta storan 1TB.
Menurut Ubergizmo, Surface 4 mempunya jangka hayat bateri yang memberangsangkan. Bagi model 13.5 inci, jangka hayat baterinya adalah 17 hingga 17.5 jam manakala model 15 inci adalah 16.5 jam.
Harga bagi kedua-dua pilihan prosesor ini sudah tentu berbeza. Bagi pilihan prosesor Intel, model termurah bermula pada harga $1,299 (RM5,366) manakala AMD pada harga $999 (RM4,127).
Amerika Syarikat, Canada, dan Jepun adalah antara negara-negara yang bakal menerima Surface 4 pada tarikh 15 April 2021.