Microsoft Mengesahkan Mereka Telah Membayar Sebanyak USD4.4 Juta Kepada Penggodam

Demi manfaat bersama.


Di persidangan keselamatan komputer, Black Hat 2019 yang telah pun berlangsung di Las Vegas, pihak pembangun perisian sistem komputer Windows, Microsoft telah mendedahkan bahawa mereka telah membayar sebanyak USD4.4 juta kepada penggodam sejak 12 bulan lalu.

Bayaran tersebut dibuat terhadap penggodam yang berjaya menggodam dan memanipulasi kelemahan sistem keselamatan Windows. Sekaligus membolehkan pihak Microsoft mengetahui kelemahan ciri keselamatan yang perlu ditambah baik pada sistem komputer tersebut.

Pihak Microsoft juga kini telah mula melancarkan program yang dipanggil Azure Security Lab yang menjemput penggodam aka penyelidik keselamatan komputer untuk mencabar mereka menguji dan menggodam ciri keselamatan Windows dalam ruang terkawal bagi mendapatkan gambaran senario yang lebih jelas apabila berlakunya sesuatu serangan oleh penggodam.

Program ini menawarkan wang ganjaran tertinggi kepada mereka yang berjaya sehingga USD40,000. Malah jika mereka berjaya mendedahkan kelemahan kritikal yang ada pada sistem operasi yang dibangunkan Microsoft itu, penggodam akan menerima bayaran setinggi USD300 ribu.

Tetapi ia mestilah disertakan bersama laporan lengkap yang menjelaskan bagaimana penggodaman itu berjaya dibuat termasuklah disertakan bersama video, laporan bertulis dan maklumat-maklumat penting berkaitan proses dan kesan penggodaman itu supaya pihak pembangun tahu, memahami dan dapat memperbetulkan isu yang ditemui oleh penggodam.

Program Azure Security Lab ini terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan mendaftar di laman Request an Azure Security Lab VM .

Sumber: Forbes

Berkaitan