Microsoft Menawarkan Secara Rasmi Pelayar Edge Berasaskan Chromium Kepada Pengguna

Untuk Pengguna Windows, Mac, dan peranti pintar.


Selepas beberapa bulan ditawarkan dalam versi beta, Microsoft hari ini secara rasminya mula menawarkan versi penuh aplikasi pelayar Edge terbaru yang berasaskan Chromium kepada pengguna.

Versi penuh aplikasi Microsoft Edge ini  boleh dimuat turun oleh pengguna Windows dari versi Windows 7/8/8.1/10, macOS, peranti iOS dan pengguna peranti Android.

Microsoft juga merancang untuk menaik taraf pelayar Edge berasaskan Chromium ini bagi menggantikan versi pelayar Edge yang sedang digunakan oleh pengguna Windows 10 secara automatik dalam tempoh beberapa bulan ini.

Bagi pengguna yang biasa dengan pelayar Google Chrome, pelayar Edge terbaru ini akan kelihatan hampir sama dengan pelayar Chrome.

Malah ia juga memiliki ciri yang sama dengan ciri yang ada pada pelayar Chrome termasuklah sokongan Chrome extension dan ciri pengurusan kata laluan.

Tetapi Edge dimuatkan dengan tetapan ciri keselamatan tambahan bagi menyekat iklan atau penjejak yang membahayakan privasi pengguna.

Kapsyen: Antaramuka tetapan pelayar Edge juga direka menyerupai sistem Windows 10.


Sementara ciri baru yang lain seperti Collection pula hanya akan dimuatkan menerusi kemas kini akan datang.

Aplikasi pelayar Edge terbaru ini sudah pun boleh dimuat turun oleh semua pengguna secara percuma menerusi laman rasmi Microsoft.