Microsoft Dilaporkan Sedang Menguji Emulator Aplikasi x86 64-bit Dalam Peranti Cip ARM Windows 10

Dengan pelancaran Surface Pro X baru-baru ini, Microsoft tidak menyertakan cip Intel untuk tablet tersebut, sebaliknya menggunakan cip berasaskan ARM yang telah diubahsuai dinamakan Microsoft SQ1.

Walaupun tablet tersebut menggunakan cip ARM yang berkuasa, masih terdapat lagi isu prestasi yang melibatkan aplikasi Windows. Sistem teknologi emulator Microsoft untuk Windows 10 ARM masih belum menyokong aplikasi 64 bit. Ini menyebabkan Surface Pro X hanya mampu untuk menjalankan aplikasi 32 bit sahaja.

Mengikut laporan dari Neowin, Microsoft sedang cuba mengendalikan masalah ini dengan membawakan sokongan untuk aplikasi 64 bit dalam Windows 10 untuk cip ARM. Dikatakan ciri ini sedia diguna pada separuh pertama 2021.

Baik Microsoft mahupun Qualcomm masih belum memberikan komen mengenai hal ini. Namun, usaha Microsoft untuk memberikan sokongan kepada aplikasi 64 bit merupakan sesuatu yang positif yang akhirnya akan mengurangkan keluhan pengguna.

Dengan menggunakan cip berasaskan ARM, pengeluar boleh mereka produk dengan lebih nipis ditambah dengan sokongan LTE seperti peranti pintar. Produk dengan cip ARM juga tidak memerlukan kipas untuk kekal sejuk kerana cip tersebut sudah sedia efisien dalam pengeluaran tenaga.

Sumber: Neowin

Berkaitan