Microsoft Dan Nintendo Setuju Benarkan Cross-Play, Sony Kekal Dengan Pendirian Mereka

Dua syarikat gergasi dalam industri pembangunan peranti permainan video, Microsoft dan Nintendo hari ini telah memulakan kerjasama antara mereka dengan membenarkan fungsi cross-play pada peranti keluaran mereka iaitu PC dan Xbox One dengan Nintendo Switch.

Permainan Minecraft menjadi permainan video pertama yang menyokong fungsi berkenaan apabila kemaskini terbaru permainan tersebut pada peranti Switch telah membawa masuk Bedrock Engine. Ia membolehkan pemain Minecraft dari Xbox One/PC dan Switch untuk bermain bersama-sama.



Bagaimanapun, Sony masih lagi kekal dengan pendirian mereka untuk tidak membenarkan fungsi cross-play dengan mana-mana peranti atau konsol keluaran pembangun lain. Mereka sebelum ini menolak untuk membenarkannya pada permainan Fortnite dan Rocket League.

Perkara ini sememangnya agak mengecewakan bagi para pemain kerana mereka tidak akan dapat bermain bersama dengan rakan-rakan yang menggunakan peranti selain daripada konsol Playstation 4. Keputusan ini turut dipersoalkan oleh penggiat industri termasuk pembangun permainan video.



Sony mengambil pendekatan untuk terus berdiam diri berkenaan desakan pengguna mereka berkaitan perkara tersebut. Walaupun pada dasarnya ia akan sedikit sebanyak merugikan mereka, Sony tentunya mempunyai sebab tersendiri semasa mengambil keputusan ini.

Sumber