Microsoft: Biar Sony Umum Dahulu Harga Konsol PS5 Mereka

Tahun ini Microsoft dan Sony akan mengumumkan konsol terkini masing-masing iaitu Xbox Series X dan juga PlayStation 5. Spesifikasi kedua-dua konsol ini telah diperlihatkan sebelum ini dan tinggal satu lagi perkara penting mengenainya - harga jualan.

Menurut laporan dari IThome, Microsoft dikatakan sedang menunggu harga jualan PS5 sebelum mengumumkan harga jualan Xbox Series X mereka. Ini bermakna buat masa ini, Microsoft belum lagi memutuskan harga jualan konsol mereka.

Tambahan lagi, dikatakan Microsoft sanggup untuk mengurangkan harga jualan sebuah Xbox Series X sebanyak 100usd (sekitar RM434) semata-mata untuk melawan pesaing terdekat mereka itu.

Pakar analisis permainan video, Michael Pachter mengatakan harga jualan PS5 akan dijual sekitar 500usd (~RM2,170). Beliau menambah, jika Microsoft mahu menjual Xbox di bawah harga PS5, mereka perlu menunggu harga jualan rasmi terlebih dahulu, dan kemudiannya memasarkannya pada harga 400usd (~RM1,736).

Difahamkan Sony terpaksa menjual PS5 dalam unit yang rendah tahun ini disebabkan harga komponen konsol yang mahal. Jadi, dengan memasarkan harga Xbox lebih rendah, Microsoft mungkin mempunyai peluang terbaik untuk mengalahkan Sony sebagai sebuah pakej konsol yang lebih 'baik'.

Sumber: IThome

Berkaitan